Armila Ketua Wanita PKR Terengganu baharu

Azan (duduk, dua, kanan) pada sidang media pengumuman secara rasmi Jawatankuasa PKR Terengganu sesi 2018/2021 di Pejabat PKR Terengganu, hari ini.
Azan (duduk, dua, kanan) pada sidang media pengumuman secara rasmi Jawatankuasa PKR Terengganu sesi 2018/2021 di Pejabat PKR Terengganu, hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kemelut yang melanda Wanita PKR Terengganu akhirnya terlerai apabila lapan ketua wanita cabang negeri ini sebulat suara memilih Ketua Wanita Cabang Dungun, Armila Alias sebagai ketua yang baharu.

Keputusan itu diterima selepas perundingan semua ketua wanita cabang yang menang dalam pemilihan lalu dan majlis konsultasi yang dibuat bersama Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Terengganu.

Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail berkata, ia sekali gus tidak mengiktiraf Sharifah Norhayati Syed Omar sebagai Ketua Wanita PKR Terengganu kerana pelantikannya tidak sah dan tidak mengikut peraturan parti.

“Pelantikan Sharifah Norhayati sebelum ini tidak melalui proses yang betul dan mengambil kira kedudukan di Terengganu, kita perlukan ketua wanita yang mendapat sokongan daripada ketua-ketua wanita cabang, maka itulah keputusan yang kita buat iaitu hasil perundingan dan dipersetujui MPN.

“Dia tiada jawatan di peringkat pusat dan parti, pelantikannya juga tidak sah. MPN Terengganu mengeluarkan senarai MPN Terengganu Sesi 2018-2021 ini setelah mendapat persetujuan dari Pejabat Presiden dan pejabat pentadbiran pusat,” katanya.

Menurutnya, senarai itu bagi mengelakkan kekeliruan untuk representasi dalam kedudukan PH peringkat Terengganu bagi mewakili PKR.

“Kita mahu mengelakkan kekeliruan dalam keanggotaan dalam pentadbiran dan pergerakan PH bersama-sama parti lain di Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman secara rasmi Jawatankuasa PKR Terengganu sesi 2018-2021 yang turut dihadiri Naib Ketua Wanita PKR Pusat, Faezah Ariffin di Pejabat PKR Terengganu di sini, hari ini.

Artikel Berkaitan:

Kemelut Wanita PKR Terengganu sebelum ini bermula selepas pelantikan Sharifah Norhayati sebagai Ketua Wanita PKR Terengganu, kerana disifatkan tidak mengikut peraturan parti.

Pelantikan itu diumumkan Ketua Wanita PKR Pusat, Haniza Talha, namun didakwa tidak mengikut dasar parti seperti yang termaktub dalam Peraturan Tetap Wanita (7.4).

Sementara itu, Azan berkata, keseluruhan ahli jawatankuasa PKR Terengganu berjumlah 29 orang mengambil kira lapan cabang kawasan Parlimen di Terengganu.

“MPN juga sebulat suara mengeluarkan satu surat ikrar oleh semua ketua cabang PKR seluruh Terengganu untuk menyatakan sokongan dan kesediaan untuk bersama Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku ketua tertinggi parti dan seterusnya sebagai bakal perdana menteri ke-8, sebagaimana pengisytiharan kepimpinan PH peringkat pusat.

“Kami keluarkan satu surat ikrar khas yang ditandatangani semua ketua cabang di Terengganu untuk menyatakan kedudukan secara rasmi. Ini penting untuk mengelakkan rungutan dan kekeliruan terhadap status beliau baik dalam parti mahupun kedudukannya dalam PH di semua peringkat,” katanya.