Lambakan hasil laut tidak terjual

Kelah memunggah hasil kupang yang diternak dan diusahakan penduduk di Kampung Orang Asli Kuala Masai, Pasir Gudang semalam.
Kelah memunggah hasil kupang yang diternak dan diusahakan penduduk di Kampung Orang Asli Kuala Masai, Pasir Gudang semalam.
A
A
A

PASIR GUDANG - Persatuan Nelayan Orang Asli Kuala Masai berdepan masalah lambakan ikan dan hasil laut yang tidak terjual di Pasar Bayu, Tebrau di sini sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan.

Pengerusinya, Kelah Lah, 40, berkata, keadaan tersebut menjejaskan sumber pendapatan sampingan 77 nelayan Kampung Orang Asli Kuala Masai.

"Jadi kita harap ada pemborong masuk ke kampung kami dan membeli ikan serta hasil laut secara terus dengan kami tanpa ada orang tengah. Ketika ini apabila kami menghantar ikan dan hasil laut ke Pasar Bayu, mereka tidak lagi menerimanya.

"Ini kerana orang ramai tidak keluar ke rumah kerana PKPB selain pelanggan tidak mempunyai wang untuk membeli ikan, sotong dan ketam yang dijual," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Kelah membetulkan jaring sebelum dibawa ke laut untuk menangkap ikan di Kampung Orang Asli Kuala Masai, Pasir Gudang.
Kelah membetulkan jaring sebelum dibawa ke laut untuk menangkap ikan di Kampung Orang Asli Kuala Masai, Pasir Gudang.

Mengulas lanjut, Kelah berkata, sebelum ini nelayan kampung berkenaan memperoleh pendapatan RM1,500 menjual ikan dan hasil laut dalam sebulan, namun selepas PKPB mereka hanya mendapat antara RM700 hingga RM800 sebulan.

Kelah yang juga Pengerusi Kampung Orang Asli Kuala Masai berkata, semua penduduk sebelum ini adalah nelayan sepenuh masa namun disebabkan pembangunan, ikan dan hasil laut semakin berkurangan menyebabkan mereka kini menternak kupang sepenuh masa.

Bagaimanapun, katanya, penternakan kupang mereka turut menerima tempias kesan daripada projek pembangunan berdekatan penempatan mereka hingga menjadikan kawasan perairan keruh dan kotor.

Artikel Berkaitan:

"Ini termasuk terdapat bahan kimia yang menjejaskan penternakan kupang. Selepas menambak laut untuk projek pembangunan, mereka membuat satu benteng. Akibatnya kita hanya dapat menuai kira-kira 40 peratus hasil kupang manakala 60 peratus daripadanya mengalami kerugian.

"Jika tidak ada benteng lagi teruk, penternakan kupang akan mengalami kerugian sehingga 90 peratus. Kira-kira 70 peratus penternakan kupang di sini dimiliki orang asli di kampung ini," katanya.

Nelayan yang terdiri daripada orang asli bersiap sedia untuk turun ke laut menangkap ikan di Kampung Orang Asli Kuala Masai, Pasir Gudang semalam.
Nelayan yang terdiri daripada orang asli bersiap sedia untuk turun ke laut menangkap ikan di Kampung Orang Asli Kuala Masai, Pasir Gudang semalam.

Dalam pada itu, Kelah memaklumkan bahawa ternakan kupang yang diusahakan itu dimiliki Petronas, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) namun diusahakan oleh penduduk orang asli tempatan.

Katanya, dia bimbang sekiranya kawasan ternakan kupang terus dicemari dengan kandungan air kotor dan mengandungi kimia ternakan kupang tidak akan menjadi malah terbantut sekali gus tidak dapat dijual.

"Masalah ini pernah berlaku sebelum ini apabila ternakan kupang tidak menjadi selama dua tahun kerana isinya bertukar menjadi hitam, berbeza dengan isi kupang yang sihat berwarna hijau," katanya.