Penduduk bimbang berlaku runtuhan baharu

Keadaan runtuhan di beberapa lokasi cerun sekitar kawasan Sungai Buloh Country Resort.
Keadaan runtuhan di beberapa lokasi cerun sekitar kawasan Sungai Buloh Country Resort.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Penduduk di Sungai Buloh Country Resort (MySBCR) meluahkan kebimbangan ekoran keadaan runtuhan cerun di sekitar kawasan kediaman mereka yang dilihat bakal mengundang risiko bahaya.

Pengerusinya, Datuk Abdullah Karim berkata, hakisan cerun itu mula dikesan sejak Mac lalu apabila penduduk setempat mendapati berlakunya pergerakan tanah di sekitar kawasan tersebut.

Sehubungan itu, pihaknya menggesa agar pemaju dapat membantu menyegerakan penambahbaikan cerun berkenaan bagi memastikan ia berada dalam keadaan stabil dan tidak mendatangkan risiko kepada penduduk setempat.

"Kami juga mohon agar Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dapat membantu memantau dan mengarahkan pemaju untuk mengutamakan proses pembaikan keseluruhan cerun ini.

"Penduduk telah mendapatkan khidmat nasihat pakar cerun yang menyatakan kemungkinan runtuhan baharu boleh berlaku jika tiada tindakan setimpal dilakukan," katanya kepada Sinar Harian.

Rumah penduduk turut dilimpahi air ekoran sistem saliran terganggu berikutan runtuhan cerun itu.
Rumah penduduk turut dilimpahi air ekoran sistem saliran terganggu berikutan runtuhan cerun itu.

Mengulas lanjut, permasalahan itu bagaimanapun telah diatasi oleh pemaju yang ketika itu bertindak melakukan kerja-kerja pembaikan di sekitar kawasan runtuhan cerun tersebut.

"Kerja pembaikan bermula agak lewat iaitu sekitar September malah pemaju juga hanya bertindak meletakkan plastik di kawasan runtuhan cerun itu bagi menggelakkan pergerakan tanah namun dengan keadaan cuaca tidak menentu sejak kebelakangan ini, penduduk telah mengesan pergerakan tanah pada runtuhan cerun itu baru-baru ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Lebih membimbangkan, Abdullah berkata, terdapat beberapa lokasi cerun lain di sekitar kawasan berkenaan turut dikesan mula runtuh dan berada dalam keadaan tidak stabil.

Katanya, kedudukan cerun itu yang berada di belakang kediaman penduduk pastinya mengundang kebimbangan buat mereka yang sebelum ini turut terkesan dengan risiko banjir kilat.

"Runtuhan tanah telah menutupi longkang sebelum ini sehingga mengakibatkan air melimpah dan membanjiri kediaman penduduk.

"Penduduk terpaksa buat tebatan bagi menahan air berkenaan dengan menggunakan bahan yang terhad," katanya.