Isteri mendiang Vui Keong disebut calon PRK Batu Sapi

Kedengaran khabar angin bahawa isteri mendiang, Vui Keong iaitu Datin Dr Lindai Lee mungkin dikemukakan bagi mengekalkan kerusi di Parlimen itu.
Kedengaran khabar angin bahawa isteri mendiang, Vui Keong iaitu Datin Dr Lindai Lee mungkin dikemukakan bagi mengekalkan kerusi di Parlimen itu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kemungkinan Parti Warisan Sabah (Warisan) meletakkan calon yang ada kaitan tali persaudaraan dengan mendiang, Datuk Liew Vui Keong mula kedengaran menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi.

Walaupun kepimpinan Warisan masih mengunci mulut siapa bakal calon mewakili parti itu dalam PRK Batu Sapi, namun turut kedengaran khabar angin bahawa isteri mendiang, Vui Keong iaitu Datin Dr Lindai Lee mungkin dikemukakan bagi mengekalkan kerusi di Parlimen itu.

Jika ia berlaku, PRK itu mungkin tidak akan menjadikan Warisan menang tanpa bertanding sebaliknya dijangka wujud persaingan sama ada satu lawan satu atau membabitkan pertandingan tiga penjuru jika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga turut mengemukakan calon pada PRK itu.

Ini kerana ada pihak tidak mahu perkara yang pernah berlaku pada PRK 4 November 2010 berulang di mana Barisan Nasional (BN) ketika itu meletakkan balu, Datuk Ir Edmund Chong Ket Wah @ Chong Ket Fah, iaitu Datin Linda Tsen Thau Lin mewakili Parti Bersatu Sabah (PBS) sebagai calon untuk mengekalkan kerusi di Parlimen itu.

Bekas pemimpin Pas dan Parti Amanah Negara (Amanah), Hamzah Abdullah semalam mengesahkan akan bertanding dalam PRK itu berkata, beliau akan meneruskan hasratnya untuk bertanding jika calon Warisan yang dikemukakan mempunyai kaitan kekeluargaan dengan mendiang Vui Keong.

Bagaimanapun, jika calon yang diletakkan sesuai dan mempunyai 'track record' perjuangan di Batu Sapi beliau mungkin tidak akan mengambil bahagian dalam PRK itu.

Beliau berkata, jika Warisan meletakkan calon yang ada kaitan persaudaraan maka ia cuma mengambil kira kepentingan parti semata-mata dan bukannya mengambil kira kepentingan rakyat.

"Ini bukan soal perkauman tetapi soalnya Warisan meletakkan calon bukan mengambil kira kepentingan rakyat tetapi kepentingan parti mereka saja.

Artikel Berkaitan:

"Dia (calon) diletakkan di situ supaya rakyat bersimpati kepada Warisan dan calon ini tidak pernah mempunyai rekod perjuangan di Batu Sapi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Hamzah berkata lagi, perkara itu sepatutnya tidak berlaku dalam Warisan.

"Kita tidak mahu apa yang terjadi dulu berulang dalam Warisan, apabila isteri mendiang Edmund iaitu Datuk Linda Tsen diletakkan sebagai calon pada PRK 2010.

"Saya dengar isterinya (Datin Dr Lindai, mendiang Vui Keong) beliau memang diletakkan kerana kawasan ini kuota kaum Cina," katanya.

Terdahulu, PRK Batu Sapi akan diadakan pada 5 Disember depan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh itu susulan kematian penyandangnya Vui Keong awal Oktober lalu.

Setakat ini, hanya Warisan dan Hamzah sebagai calon bebas mengesahkan akan bertanding dalam PRK itu bagaimanapun kepimpinan Warisan belum mengumumkan siapa calon mereka kemukakan.