X

Kindly register in order to view this article
!

Kedah cadang wujudkan pelancongan ibadah

Kerajaan Kedah bercadang mewujudkan pelancongan ibadah di negeri itu. Gambar kecil: Mohd Firdaus Ahmad
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri bercadang mewujudkan pelancongan ibadah di negeri ini berikutan Kedah mempunyai sejumlah pondok pengajian agama di beberapa daerah.

Exco Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Mohd Firdaus Ahmad berkata, buat permulaan ia akan dilaksanakan di daerah Sik sebelum diperluaskan ke seluruh daerah memandangkan negeri ini mempunyai pondok agama hampir di setiap daerah.

"Perbincangan dilakukan bersama majlis daerah, pengerusi-pengerusi pondok di Sik serta Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Kedah pada bulan lalu.

“Sehubungan itu, buat masa ini belum ada cadangan membina Muzium Galeri Pondok di Baling sebagai destinasi pelancongan untuk merasai pengalaman tidur dan mengikuti kuliah Subuh di pondok seperti dicadangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Abd Nasir Idris,” katanya ketika sesi penggulungan pada persidangan DUN Kedah di sini hari ini.

Mohd Firdaus ketika sesi penggulungan pada Sidang DUN Kedah di Alor Setar hari ini.
Mohd Firdaus ketika sesi penggulungan pada Sidang DUN Kedah di Alor Setar hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri menyediakan peruntukan besar untuk sektor pelancongan di daerah itu terutama menyediakan kemudahan bagi rangkaian 17 gua di Gunung Baling dan Gunung Pulai.

“Perancangan menarik taraf dan memajukan sektor pelancongan di Baling sedang diusahakan termasuk mohon peruntukan tambahan daripada Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya.

"Pada 2019, kita menerima RM1 juta daripada kementerian dan sebanyak RM250,000 disalurkan kepada daerah Baling untuk menarik taraf Ulu Legong,” katanya.

Katanya, pada tahun ini kerajaan negeri memohon peruntukan khas daripada Kementerian Pelancongan untuk menaik taraf gua-gua di Baling dan rangkaian sektor pelancongan berkaitan.

“Sebelum ini saya sendiri melawat Gua Air dan mengumumkan peruntukan RM50,000 bagi menaik taraf kemudahan di situ.

"Selain itu khazanah hutan yang berpotensi dibangunkan sebagai kawasan pelancongan turut diberi perhatian berikutan kebanyakan hutan di Baling diwartakan hutan simpanan kekal.

"Kerajaan negeri mengelaskan hutan simpanan kekal sebagai hutan lipur atau hutan taman eko rimba dan dikhususkan sebagai kawasan pelancongan,” katanya.

Mohd Firdaus berkata, industri pelancongan di Kota Siputeh terutama Bukit Hantu, Bukit Gong dan Gua Kerbau yang kini menjadi tarikan utama pendaki juga akan dibangunkan.

“Kita beri perhatian sebagaimana Bukit Mokcun yang dinaik taraf Majlis Daerah Kubang Pasu baru-baru ini. Rangkaian bukit dan gua tersebut juga akan diberi perhatian selepas meneliti status tanah di kawasan itu.

"Ini termasuk industri pelancongan di Bukit Kachi, Gua Komunis yang masih di peringkat perbincangan dengan pihak majlis bagi melihat kesesuaian dan potensi kerana melibatkan kos tinggi,” katanya.

Berhubung cadangan membangunkan semula Tasik Pedu, beliau berkata, penilaian akan dilakukan bersama Majlis Daerah Padang Terap sebelum memutuskan keperluan membangunkan semula chalet dan pembesaran jalan ke kawasan tersebut.

Dalam pada itu, Mohd Firdaus berkata, cukai pelancongan sebanyak RM5.12 juta dimasukkan ke akaun kerajaan negeri untuk dibelanjakan bagi tujuan pelancongan.

“Cukai ini diserahkan secara agihan 50 peratus kepada negeri daripada jumlah kutipan keseluruhan RM10.25 juta pada Julai lalu untuk membangunkan sektor pelancongan negeri,” katanya.

"Bagi merancakkan semula aktiviti pelancongan negeri pula kita lakukan promosi termasuk menurunkan harga hotel bagi tujuan menarik lebih ramai pelancong.

“Promosi dilakukan dari semasa ke semasa. Contohnya Hotel Park Avenue di Langkawi menurunkan harga sehingga RM69.99 bagi menarik kehadiran pengunjung,” katanya.

Katanya, menurut Persatuan Hotel Malaysia (MAH), hampir 45 hotel di Langkawi menurunkan harga sehingga 70 peratus bagi hotel tiga bintang dan ke atas.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!