X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 30 Jun 2022

Lebih 25,000 sampel ujian Covid-19 seminggu diambil di Sabah

Bilangan sampel yang diambil untuk ujian Covid-19 meningkat kepada 25,000 ke 40,000 seminggu pada Oktober dan November di Sabah berbanding 3,500 sampel seminggu pada September. Foto 123RF
A
A

KUALA LUMPUR - Bilangan sampel yang diambil untuk ujian koronavirus (Covid-19) meningkat kepada 25,000 ke 40,000 seminggu pada Oktober dan November di Sabah berbanding 3,500 sampel seminggu pada September, kata Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Dr Noor Azmi berkata, sebanyak 380,850 ujian PCR dan 137,429 ujian RTK Antigen dijalankan bagi Sabah sehingga 9 November lepas.

“Bagi ujian PCR Covid-19, kemampuan menganalisa sampel ini adalah berdasarkan had kapasiti setiap makmal. Had kapasiti bagi makmal di Sabah adalah 2,700 ujian sehari.

“Apabila sampel yang diambil telah melebihi kapasiti maksimum makmal di Sabah, sampel selebihnya akan dibawa ke makmal di Semenanjung untuk dianalisa,” katanya dalam ucapan pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tuaran) yang meminta penjelasan kementerian mengenai isu kemudahan makmal dan peralatan ujian PCR di Sabah.

Beliau berkata, kerajaan sedang membangunkan dua makmal di Sabah iaitu Makmal Molekular di Tawau dan Makmal Modular di Lahad Datu dan dijangka siap dalam masa terdekat dengan kemampuan kapasiti sebanyak 200 sampel ujian PCR Covid-19 sehari.

Selain itu, katanya, makmal Klinik Kesihatan Tawau, Kubota juga telah siap diubah suai dan bersedia menjalankan ujian PCR dengan kapasiti 150 sampel ujian sehari selepas kompetensi anggota diluluskan.

“Makmal di Hospital Queen Elizabeth, Hospital Sandakan dan Tawau juga boleh menjalankan ujian Rapid Molekular Covid-19 dengan penggunaan peralatan Gene Xpert,” katanya.

Dalam pada itu sebanyak RM1 bilion diluluskan kepada kementerian bagi menangani wabak Covid-19 sehingga 31 Oktober dan daripada jumlah itu sebanyak RM127 juta disalurkan kepada Sabah bagi memenuhi keperluan perolehan pelbagai bekalan dan perkhidmatan antaranya pembelian peralatan, bekalan perubatan, barangan pakai habis, kelengkapan perlindungan diri (PPE), reagen dan kit ujian.

Selain itu seramai 30,730 kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkhidmat di Sabah merangkumi 27,678 kakitangan tetap dan 3,052 kakitangan kontrak sehingga 31 Oktober.

“Daripada jumlah itu, seramai 561 adalah Juruteknologi Makmal Perubatan, 32 Pegawai Sains (Mikrobiologi) dan 13 lagi adalah Pakar Patologi yang lima daripadanya adalah pakar dalam bidang Mikrobiologi,” katanya.

Katanya, seramai 1,045 kakitangan telah dimobilisasi ke Sabah; 568 kakitangan baharu telah dilantik secara kontrak iaitu 317 Jururawat; 183 Penolong Pegawai Perubatan; 41 Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran dan 27 Juruteknologi Makmal Perubatan sehingga 27 Oktober. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!