Penipuan SMS: Bekas ketua perkhidmatan pelanggan telco pula direman

Suspek wanita berusia 46 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira jam 11 malam semalam selepas hadir memberi keterangan.
Suspek wanita berusia 46 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira jam 11 malam semalam selepas hadir memberi keterangan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Seorang bekas ketua perkhidmatan pelanggan syarikat telekomunikasi direman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan sindiket penipuan melalui sistem pesanan ringkas (SMS).

Perintah reman sehingga 22 November depan itu dikeluarkan oleh Majistret Siti Roslizawati Mohd Zanin di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan tersebut pagi tadi.

Menurut sumber, suspek wanita berusia 46 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira jam 11 malam semalam selepas hadir memberi keterangan.

Ini menjadikan jumlah penahanan reman berkaitan kes sindiket penipuan SMS adalah seramai 17 orang.

Difahamkan seramai tiga individu termasuk dua pengarah syarikat dan seorang pegawai syarikat telekomunikasi yang ditahan sebelum ini dibebaskan dengan jaminan semalam.

Mereka yang terlibat dipercayai telah memberi dan menerima wang rasuah untuk tujuan mendapatkan maklumat data peribadi pelanggan yang menggunakan pelan prabayar.

Hasil siasatan, nombor telefon yang diperoleh akan digunakan oleh sindiket penipuan ‘content provider' dengan mengenakan bayaran langganan menerusi SMS tanpa pengetahuan dan persetujuan daripada pengguna.

Kata sumber itu lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

ARTIKEL BERKAITAN Sindiket penipuan SMS: Enam lagi individu direman

Artikel Berkaitan: