Nelayan Semerak 'gantung' pukat

Zahari memeriksa bot yang akan dipindahkan ke kawasan selamat oleh nelayan bagi mengelakkan dipukul ombak dan angin kencang sepanjang musim tengkujuh.
Zahari memeriksa bot yang akan dipindahkan ke kawasan selamat oleh nelayan bagi mengelakkan dipukul ombak dan angin kencang sepanjang musim tengkujuh.
A
A
A

PASIR PUTEH - Nelayan di kawasan Semerak di sini mula 'gantung' pukat tanda bercuti daripada melakukan aktiviti menangkap ikan sejak awal November lalu ekoran cuaca yang tidak menentu selain keadaan laut bergelora ketika ini kesan Monsun Timur Laut.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, rata-rata nelayan sudah mula menaikkan bot-bot mereka ke kawasan yang lebih selamat sekaligus menandakan mereka akan bercuti lama.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Semarak, Zahari Samat berkata, persiapan awal itu mengelakkan bot-bot yang digunakan untuk mencari rezeki bagi menyara keluarga rosak dipukul ombak kuat dan angin kencang sepanjang musim tengkujuh.

"Sebelum tengkujuh bot-bot ini kita hanya letak di kawasan pesisir pantai.

"Jadi masuk sahaja musim tengkujuh kita pindah ke tempat yang lebih jauh dari pandai dan selamat," katanya kepada Sinar Harian.

Zahari membuat tinjauan bagi memastikan nelayan mengosongkan kawasan yang sebelum ini digunakan untuk menyimpan bot.
Zahari membuat tinjauan bagi memastikan nelayan mengosongkan kawasan yang sebelum ini digunakan untuk menyimpan bot.

Menurutnya, kebiasaan nelayan akan mula bercuti daripada melakukan aktiviti di laut bermula November hingga Mac tahun hadapan.

Beliau berkata, sepanjang tempoh itu hampir 95 peratus golongan nelayan 'putus' mata pencarian apabila tidak dapat turun ke laut.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sepanjang tempoh itulah mereka akan 'mengorek' tabungan yang ada untuk meneruskan kehidupan sebelum dapat turun ke laut menangkap ikan pada April tahun depan.

"Selain itu, golongan nelayan turut bergantung kepada bantuan daripada kerajaan sepanjang tempoh tersebut," katanya.

Zahari berkata, dengan bantuan itu jugalah mereka gunakan untuk menyara keluarga dan menggunakannya untuk membeli keperluan anak-anak dipenggal baharu persekolahan.

Bagaimanapun katanya, ada dalam kalangan nelayan sanggup bergadai nyawa dengan ke laut sebaik sahaja melihat Monsun Timur Laut reda seketika.

"Namun saya tetap melakukan pemeriksaan dan sentiasa mengingatkan mereka berwaspada dengan cuaca semasa bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku," katanya.