Bekas pemandu van didakwa merogol, liwat

S Dinesh Kumar yang berdepan enam pertuduhan antaranya merogol dan meliwat di bawa ke Kompleks Mahkamah Johor Bahru hari ini.
S Dinesh Kumar yang berdepan enam pertuduhan antaranya merogol dan meliwat di bawa ke Kompleks Mahkamah Johor Bahru hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Seorang bekas pemandu van mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini hari ini atas enam pertuduhan iaitu merogol, meliwat, mencederakan mangsa dan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri pada 12 dan 15 November lalu.

Tertuduh S.Dinesh Kumar, 31 membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim MV Mabel Sheela dan Majistret, Nurasidah A Rahman.

Mengikut pertuduhan, S Dinesh didakwa melakukan kesalahan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang wanita berusia 30 tahun di Taman Perling di sini pada jam 6 pagi di sebuah rumah 12 November lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mahkamah Sesyen, Nur Sulehan Abd Rahman meminta mahkamah tidak menawarkan jaminan ke atas tertuduh kerana bimbang tertuduh akan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Peguam Amaarpreet Singh yang mewakili tertuduh memohon supaya jaminan diberikan kerana tertuduh kehilangan pekerja dan memohon mahkamah mempertimbangkan keadaan penjara yang sesak dikhuatiri akan menyebabkan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Hakim MV Mabel Sheela membenarkan jaminan sebanyak RM 7,000 dengan dua orang penjamin selain beberapa syarat tambahan termasuk melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan larangan daripada mahkamah supaya tidak mengganggu saksi.

Di Mahkamah Majistret pula, Dinesh mengaku tidak bersalah mengugut dan mencederakan mangsa di lokasi dan waktu yang sama.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Dinesh turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan memberikan makluman diri palsu kepada pihak polis.

Majistret Nurasidah A Rahman membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 bagi keempat-empat pertuduhan dengan seorang penjamin.

Sementara itu, dua lagi rakan tertuduh iaitu Salwani Yusof, 28 dan Dewi Riskasari, 25 mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan mencederakan dan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh dijamin masing-masing sebanyak RM3,500 dan RM4,000.

Kes di Mahkamah Majistret dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Benedict Choong Kai-Qi manakala Salwani dan Dewi tidak diwakili peguam.

Hakim Mabel Sheela dan Majistret Nurasidah A Rahman menetapkan 22 Disember ini bagi sebutan semula kes.

Semalam Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Wahid berkata, seorang wanita dirogol, diperlakukan seks luar tabii dan dipukul di sebuah rumah di Taman Perling di sini Sabtu lalu.

Katanya, dirogol, diperlakukan seks luar tabii dan dipukul oleh seorang lelaki dan dua wanita selain turut diperas ugut RM2,000 untuk dilepaskan.