Keputusan tepat wujudkan pasukan petugas anti seludup

Penyeludupan produk rokok dan tembakau mengakibatkan negara kehilangan RM5 hingga RM6 bilion dari segi hasil. Gambar hiasan
Penyeludupan produk rokok dan tembakau mengakibatkan negara kehilangan RM5 hingga RM6 bilion dari segi hasil. Gambar hiasan
A
A
A

PENGUMUMAN beberapa langkah penting oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam Belanjawan 2021 berhubung usaha melindungi hasil perolehan kerajaan semasa pandemik koronavirus (Covid-19) dianggap tepat pada masanya.

Ia adalah keperluan mendesak untuk menangani masalah yang berlarutan daripada kerajaan terdahulu iaitu menutup ketirisan hasil kerajaan terutama membabitkan kegiatan penyeludupan rokok.

Ketika membentangkan belanjawan yang paling besar dalam sejarah negara itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan perlu memastikan sumber-sumber adalah lestari dan boleh membiayai perbelanjaan terutama kos operasi.

Beliau kemudiannya beralih terus ke bidang yang merupakan masalah besar iaitu penyeludupan barangan yang memiliki nilai cukai yang tinggi, merujuk khusus kepada penyeludupan produk rokok dan tembakau, yang mengakibatkan negara kehilangan RM5 hingga RM6 bilion dari segi hasil.

Tengku Zafrul turut menggariskan beberapa strategi untuk menangani masalah yang sudah lama berlarutan ini, dan apa yang disifatkan sebagai langkah paling komprehensif pernah dilaksanakan oleh kerajaan setakat ini bagi membanteras penyeludupan dengan langkah berikut:

- Pasukan Petugas Pelbagai Agensi atau Multi-Agency Task Force yang telah ditubuhkan bagi menyelaraskan usaha dan pengumpulan risikan akan diperteguhkan lagi dengan penyertaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional;

- Membekukan pengeluaran lesen import rokok baharu;

- Mengetatkan pembaharuan lesen import rokok menerusi kajian semula syarat-syarat pengimportan termasuk mengenakan kuota import.

Artikel Berkaitan:

- Mengehadkan aktiviti penghantaran rokok kepada pelabuhan tertentu.

- Mengenakan cukai dengan kemudahan pulang balik ke atas semua rokok import bagi tujuan penghantaran dan eksport semula

- Tidak membenarkan aktiviti penghantaran dan eksport semula rokok menggunakan bot kumpit dan sebaliknya hanya di dalam kontena ISO dan

- Mengenakan cukai ke atas rokok dan produk tembakau di semua Pulau Bebas Cukai

- Mengenakan cukai 10 peratus ke atas semua jenis peralatan rokok elektronik dan bukan elektronik termasuk vape berkuatkuasa 1 Januari 2021, manakala cecair yang digunakan di dala rokok elektronik akan dikenakan cukai pada kadar 40 sen setiap mililiter.

Tidak ragu-ragu lagi bahawa langkah-langkah itu digubal bagi mengembalikan semua tahap hasil yang sepatutnya untuk meningkatkan hasil kerajaan daripada sektor ini dan memerangi jenayah penyeludupan dengan lebih cekap dan berkesan.

Penyeludupan tembakau menyumbang kepada ketirisan terbesar di dalam perolehan cukai yang sepatutnya dinikmati negara adalah satu fakta yang tidak boleh dinafikan.

Ia juga adalah suatu perkara yang memalukan dan perlu dielakkan bila terdapat laporan meletakkan tahap kontraban begitu tinggi di Malaysia iaitu 65 peratus daripada keseluruhan pasaran, menjadikannya tertinggi di dunia.

Malah tiada negara lain berada hampir dengan tahap Malaysia tersebut!

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul

Sementara punca-punca kepada keadaan sebegini teruk adalah jelas di hadapan mata, namun tiada langkah konkrit untuk menangani isu penyeludupan sebelum ini.

Apa yang Tengku Zafrul telah bentangkan itu bukan sahaja sesuatu yang berani tetapi juga sebenarnya memberi kerajaan peluang kukuh untuk mendapatkan kembali hasil yang hilang selama ini.

Pemerhati industri bersetuju bidang utama di mana kerajaan meletakkan sasaran untuk dikawal iaitu salah guna lesen pengimportan yang diguna pula bagi menyeludup kontraban, penyalahgunaan fasiliti transshipment untuk memesongkan stok ke dalam pasaran cukai berbayar domestik, bilangan tinggi rokok di pulau bebas cukai yang kemudiannya melimpah secara haram ke kawasan cukai berbayar selain juga menghentikan kehilangan hasil daripada rokok berbayar cukai kepada produk vape yang tidak berbayar cukai.

Keberanian untuk melaksanakan langkah-langkah itu bukan sahaja disambut baik tetapi juga harus disusuli dengan pelaksanaan yang kuat dan jitu.

Tidak dinafikan sudah ada pihak yang menentang cadangan langkah berkenaan, mendakwa ia sebagai terlalu keras dan akan menjejaskan keseluruhan kemudahan seperti larangan transshipment rokok.

Namun, inilah langkah-langkah sebenar yang dimahukan sebagai langkah perubahan berani terhadap isu-isu penyeludupan.

Sejak sekian lama, masalah ini dibincang, didebat dan diketengahkan berulang-ulang kali tanpa mendatangkan impak yang dimahukan.

Kerugian kepada negara akibat perdagangan rokok tidak sah ini telah melonjak ke tahap RM5 bilion hingga RM6 bilion di mana tiada kerugian cukai produk lain pun dapat menyaingi dan kini ditambah pula dengan trend vape yang tidak sah.

Kerajaan sebelum ini tidak memiliki keberanian, apa lagi kesungguhan untuk melakukan perkara yang betul – sebaliknya sekadar mencuba langkah-langkah kecil untuk menangani keseluruhan permintaan pengguna bagi produk tembakau, seperti larangan merokok yang jelas tidak memadai.

Apa yang berlaku, terutama sejak 2015 apabila kali terakhir kerajaan menaikkan cukai secara besar-besaran, penyeludupan produk haram menyaksikan peningkatan besar dari segi permintaan dan seterusnya bekalan.

Apa yang berlaku ialah bukan sekadar kehilangan hasil cukai tetapi juga kemunculan Malaysia sebagai negara nombor satu di dunia sebagai pasaran rokok seludup. Benda haram telah menjadi normal dan masalah itu seperti langsung tidak dapat dibendung oleh kerajaan.

Inilah sebabnya mengapa langkah-langkah luar biasa ini amat diperlukan. Satu langkah yang cukup gegak gempita untuk memporak-porandakan pasaran gelap dan para penyeludup.

Kerajaan juga perlu menghantar isyarat kuat kepada para penyeludup bahawa ia kini amat serius untuk bertindak dan juga mengisyaratkan kepada para pelabur bahawa ia tidak lagi bertolak-ansur kepada aktiviti kontraban lagi, terutama pasaran gelap. Ia bukan sesuatu yang diterima sebagai yang normal.

Pujian harus diberikan kepada Kementerian Kewangan yang memacu usaha ini, dan menolak menggunakan jalan mudah untuk tidak mengendahkannya. Sebaliknya bertindak tegas di mana ia amat diperlukan. Ia boleh jadi cukup senang untuk mengurangkan cukai dan harga produk tembakau tetapi ia mungkin langkah yang salah.

Tiada negara di dunia ini mengurangkan cukai rokok dan langkah sedemikian tentunya mengundang kritikan, jika tidak cemuhan daripada pelbagai pihak.

Sekarang terserah di tangan semua pihak penguatkuasa untuk mendapatkan kembali hasil negara yang sekian lama disedut oleh penyeludup. Laluan atau kaedah bagi penyeludupan besar akan dihentikan, lubang-lubang bagi penjualan vape tidak berbayar cukai juga akan ditutup.

Ujian sebenar sekarang ialah kesungguhan. Apakah kerajaan akan berpegang teguh kepada rancangan pelaksanaan ketika berlaku ‘tekanan daripada pintu belakang’ supaya kerajaan tidak meneruskan rancangan tersebut.

Lihatlah nanti. Orang yang sekian lama menikmati manfaat daripada penjualan kontraban akan mula bising-bising.

Mungkin ada yang akan benar-benar terkena tempias tetapi matlamat kerajaan untuk mempertahankan perdagangan sah, adalah jauh lebih mulia daripada menjaga kepentingan perdagangan haram.