Mukhriz bawa usul pinda perlembagaan bubar Dewan Rakyat

Mukhriz
Mukhriz
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Bebas-Jerlun) akan mengusulkan satu pindaan terhadap Perkara 55(3) Perlembagaan Persekutuan berkenaan pembubaran dewan di bawah Peraturan Mesyuarat 18 dibaca bersama Peraturan 14 dalam Peraturan-peraturan Dewan Rakyat.

Beliau berkata, tujuan usul itu dibuat adalah untuk membenarkan kerajaan menunda pilihan raya atas alasan keselamatan atau kesihatan rakyat sehingga ancaman pandemik koronavirus (Covid-19) berakhir.

"Ini sangat diperlukan ketika ini kerana keadaan undang-undang sekarang yang mendesak supaya Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan semasa situasi ancaman Covid-19.

"Tambahan pula beberapa wakil kerajaan menyebut keadaan ini boleh dielak dengan isytihar darurat. Walaupun pindaan ini memerlukan sokongan majoriti dua pertiga ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

"Tetapi Jerlun percaya bahawa kerajaan juga ingin memastikan Covid-19 ditangani sebaik mungkin dan tidak hanya bermain politik sahaja. Maka kerajaan harus menyokong cadangan pindaan ini, malah ada baiknya jika kerajaan sendiri yang drafkan usul untuk dibentangkan di dewan yang mulia ini," katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mukhriz berkata, beliau yakin sekiranya wujud keazaman politik yang tinggi di kalangan semua pihak adalah tidak mustahil Perlembagaan Persekutuan itu dipinda bagi menyelamatkan rakyat daripada ancaman pandemik itu.

"Walaupun begitu, Jerlun akan kemukakan usul tersebut secara rasmi kepada Speaker Dewan Rakyat sebagai suatu perkara yang tertentu, berkehendak disegerakan dan berkenaan dengan kepentingan yang ramai," katanya.

Artikel Berkaitan: