Tiga askar Syria maut akibat serangan udara Israel

Gambar fail menunjukkan serangan udara yang dilancarkan tentera Israel ke atas Syria. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan serangan udara yang dilancarkan tentera Israel ke atas Syria. - Foto AFP
A
A
A

DAMSYIK - Sekurang-kurangnya tiga askar Syria terbunuh di selatan negara itu dalam satu serangan udara tentera Israel hari ini, menurut agensi berita SANA.

"Serangan itu membunuh tiga askar dan mencederakan seorang lagi anggota tentera," lapor agensi berita itu yang memetik satu sumber keselamatan.

Tentera Israel melancarkan satu serangan balas udara ke atas sasaran askar-askar Syria dan pasukan bersenjata Iran yang menyebabkan tiga anggota tentera itu terbunuh dan seorang lagi cedera.

Serangan itu dilancarkan selepas tentera Yahudi menemui bahan-bahan letupan di sepanjang sempadan Israel.

Semalam, pihak tentera rejim Zionis berkata, ia menemui bahan-bahan letupan yang diubah suai (IED) di kawasan sempadan yang menghubungkan negara tersebut dengan Syria.

Bahan-bahan letupan itu telah "diletakkan oleh sebuah skuad Syria yang diketuai oleh pasukan bersenjata Iran," kata kenyataan tentera.

"Dalam satu tindak balas, jet-jet pejuang Pasukan Pertahanan Israel menyerang sasaran milik pasukan bersenjata Baitulmuqaddis Iran dan Pasukan Pertahanan Syria," katanya.

Rejim Zionis berkata, serangan itu mengenai kemudahan stor, ibu pejabat dan kawasan pekarangan tentera.

Artikel Berkaitan:

"Beberapa peralatan perang Syria iaitu peluru berpandu dari permukaan ke udara musnah," tambah kenyataan berkenaan.

Israel telah melancarkan ratusan serangan udara dan peluru berpandu di Syria sejak perang saudara meletus di negara itu pada tahun 2011 dengan menyasarkan pasukan bersenjata Iran dan Lebanon termasuk tentera kerajaan negara itu. - AFP