Pengalaman berbeza hadapi banjir normal baharu

Seekor kucing hanya duduk di atas tangga sambil melihat banjir di Kampung Bukit Nyior, Pelong Setiu yang menjadi kawasan pertama dilanda bencana itu hari ini. - Foto Bernama
Seekor kucing hanya duduk di atas tangga sambil melihat banjir di Kampung Bukit Nyior, Pelong Setiu yang menjadi kawasan pertama dilanda bencana itu hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SETIU - Pengalaman mangsa banjir kali ini tidak sama seperti sebelumnya kerana mereka perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat yang telah ditetapkan bagi mencegah penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Biarpun agak janggal kerana terpaksa duduk berjarak antara satu sama lain dan sentiasa memakai pelitup muka, namun kesemua mereka akur dengan normal baharu yang perlu diamalkan demi mengelakkan wujud kluster baharu di pusat pemindahan sementara (PPS).

Dua PPS di Balairaya Sungai Lerek dan Surau Kampung Bukit Nyior, Pelong dibuka pada jam 1 pagi tadi bagi menempatkan penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap yang terpaksa berpindah berikutan rumah mereka dinaiki air akibat hujan lebat sejak semalam.

Tinjauan Bernama di dua PPS berkenaan yang menempatkan 44 mangsa daripada 11 keluarga mendapati kesemua mangsa patuh kepada SOP seperti merekodkan suhu badan, memakai pelitup muka dan memastikan jarak fizikal antara mereka.

Warga emas, Romli Mamat, 66, berkata, situasi normal baharu ini memang janggal bagi dirinya namun SOP tetap dipatuhi bagi mengelak risiko ‘kluster banjir’ di PPS.

“Banjir pada tahun sebelum ini, biasanya orang perempuan bergotong-royong memasak tapi tahun ini, kami dimaklumkan akan diberikan pek makanan yang sudah siap dimasak oleh pengusaha katering.

"Paling janggal bagi saya sebab kena duduk jarak jauh sikit dengan mangsa lain sedangkan kami semua sekampung sahaja... tapi saya patuh apa-apa yang pegawai agensi maklumkan demi keselamatan semua," katanya yang terpaksa berpindah setelah rumahnya dinaiki air hingga paras lutut.

Banjir yang sering melanda kawasan itu juga menyebabkan sepasang warga emas bertindak berpindah sendiri ke PPS berdekatan memandangkan bencana itu menjadi rutin tahunan mereka.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Mat Zin, 73, berkata, air mula melimpah di kawasan rumahnya di Kampung Bukit Nyior, Pelong di sini kira-kira 10 malam tadi apabila hujan lebat sejak pagi semalam.

Katanya, dia dan isteri Zabidah Mohammad, 62, berpindah ke surau terletak kira-kira 500 meter daripada rumah mereka kerana air sudah naik ke paras pinggang.

"Apabila melihat air mula melimpah saya dan isteri angkat barang-barang yang boleh diselamatkan ke bahagian atas rumah manakala barangan berat seperti perabot terpaksa dibiarkan begitu sahaja kerana kudrat yang tidak seberapa," katanya. - Bernama