Hari unik buat Sepanyol: Enrique

Pemain Sepanyol meraikan jaringan ketika membelasah Jerman 6-0 awal pagi tadi.
Pemain Sepanyol meraikan jaringan ketika membelasah Jerman 6-0 awal pagi tadi.
A
A
A

KEMENANGAN besar 6-0 ke atas Jerman dalam saingan Liga Negara-Negara UEFA di Estadio de La Cartuja, awal pagi tadi disifatkan sebagai hari unik oleh pengendali Sepanyol, Luis Enrique.

Menurutnya, kemenangan besar ke atas pasukan gergasi Eropah seperti Jerman itu sangat jarang berlaku selain turut memuji persembahan penuh bertenaga dipamerkan pemainnya.

"Kemenangan ini adalah untuk semua pemain, tidak terkecuali kepada pemain yang tidak bermain hari ini. Ia persembahan luar biasa dan wajar diberikan pujian.

"Perlawanan malam ini bagi saya sangat unik dan jarang berlaku. Ia berjalan seperti yang dirancang. Pemain keluar ke padang dan melakukan seperti apa yang diharapkan. Ini yang akan anda dapat jika mengabungkan kualiti dan sikap yang bagus," katanya.

Penyerang Manchester City, Ferran Torres tampil cemerlang dalam perlawanan tersebut dengan melakar hatrik dan masing-masing satu gol daripada Alvaro Morata, Rodri dan Mikel Oyarzabal.

Mengulas lanjut, Enrique mengakui kemenangan itu menaikkan semangat pemain apatah lagi Sepanyol juga telah sah mara ke pusingan akhir Liga Negara-Negara.

"Kami rasakan bahawa kami tidak layak untuk tewas dalam kempen kali ini. Kami menjaringkan 13 gol dan hanya bolos tiga gol. Angka tersebut menceritakan segalanya.

"Anda boleh tengok cara kami bermain pada hari ini menekan pasukan Jerman dengan sangat baik. Anda perlukan semua pemain termasuk daripada bahagian pertahanan untuk menjadikan perlawanan ini sempurna," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, penyerang Sepanyol, Morata menyifatkan kemenangan besar itu bakal menutup mulut pengkritik kepada skuad La Roja tersebut.

"Saya mahu pulang dab melihat apa yang mereka (pengkritik) mahu katakan mengenai persembahan kami. Kami telah melakukan tugas dengan baik dan mereka kena mengakui ketika ini.

"Mereka kena faham bahawa pasukan ini sedang dibentuk dengan pemain muda. Mereka kena bersabar dan sekarang lihat kami telah menunjukkan hasil," katanya.