Bakar kenderaan: Polis buru 'Radio'

Polis mencari seorang lelaki dikenali sebagai 'Radio' susulan kes khianat bakar kenderaan di sebuah rumah di Taman Sentosa, Klang baru-baru ini.
Polis mencari seorang lelaki dikenali sebagai 'Radio' susulan kes khianat bakar kenderaan di sebuah rumah di Taman Sentosa, Klang baru-baru ini.
A
A
A

KLANG - Polis memburu seorang lelaki bagi membantu siasatan berkaitan kes khianat dengan api di sebuah rumah di Taman Sentosa, di sini Ahad lalu.

Lelaki terbabit adalah A Theyagarajan, 31, atau dikenali sebagai 'Radio'.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.24 pagi itu menyebabkan kebakaran tiga buah motosikal dan sebuah kereta jenis Perodua Myvi.

"Bertindak hasil maklumat, dua lelaki berusia 32 dan 35 tahun berjaya ditahan pada keesokannya bermula jam 12 tengah hari dalam tangkapan berasingan di sekitar kawasan terbabit selain merampas dua buah motosikal curi.

"Semakan mendapati, suspek masing-masing memiliki 10 dan 13 rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua suspek kini direman tiga hari sehingga Khamis untuk siasatan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Katanya, siasatan masih dijalankan untuk mengesan 'Radio'.

"Motif kejadian dipercayai kerana salah seorang suspek yang juga adik ipar kepada mangsa berang dan tidak mahu mangsa yang juga rakan kepada pemilik rumah terbabit tinggal di rumah itu.

Artikel Berkaitan:

"Pada masa sama, mangsa juga sedang dalam proses penceraian dengan isterinya," katanya.