MAFI, PPK masih bincang kaedah terbaik selesai isu benih padi

Azman Nasrudin
Azman Nasrudin
A
A
A

ALOR SETAR - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) masih berbincang bersama pemegang taruh termasuk Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) untuk mengenal pasti kaedah terbaik pengedaran benih padi susulan bercadang melantik Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) sebagai pengedar tunggal benih padi sah bermula tahun depan.

Exco Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India, Azman Nasrudin berkata, langkah itu diambil bagi mengatasi permasalahan benih padi yang sering dihadapi pesawah selain membolehkan penetapan harga siling benih padi sah dapat dilakukan.

“Saya percaya pemilihan Nafas berdasarkan kepada pengalaman dimiliki dalam pengedaran skim bantuan baja padi. Ia juga dapat memastikan edaran benih padi diedar secara terus kepada pesawah,” katanya ketika menjawab soalan lisan Mansor Zakaria (Kuala Ketil-Pas) berhubung isu kelewatan dan eksploitasi harga benih padi yang masih belum selesai, di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.

Azman turut senada dengan pandangan Ketua Pembangkang DUN Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi yang mencadangkan pengedaran benih padi diuruskan oleh PPK bagi mengelak ketirisan.

“Saya setuju kerana PPK main peranan dalam isu ini, disebabkan itu Nafas masih bincang dengan PPK untuk cari kaedah berkesan supaya edaran lebih efisyen, elakkan kekurangan bekalan serta dimanipulasi pihak tertentu,” katanya.

Menurutnya, beberapa langkah awal telah diambil sebelum bermulanya musim penanaman 2/2020 bersama agensi terlibat termasuk tiga pengeluar benih padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berhubung pengagihan kuota, pesanan benih lebih awal, menetapkan jadual bekalan air dan permulaan musim berdasarkan situasi bekalan benih, serta mengemaskini maklumat stok bekalan benih padi sah secara mingguan.

“Antara cadangan tambahan menambahbaik pengeluaran dan pengedaran benih padi masa hadapan; memberi kuota pengeluaran lebih kepada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) kerana kawalan lebih mudah ke atas harga dan kualiti. Menetapkan harga siling benih padi dan syarat peratusan jualan melalui PPK lebih tinggi berbanding ejen dilantik selain memantau harga akhir jualan kepada peladang,” katanya.

Azman berkata, kekurangan bekalan benih padi serta situasi harga melambung di pasaran antaranya disebabkan oleh kecenderungan pesawah memilih benih varieti tertentu, kesukaran mendapatkan benih padi bersubsidi di pasaran, eksploitasi harga antara pengeluar dan ejen serta tempoh masa singkat antara musim penuaian dan aktiviti penanaman.

Artikel Berkaitan: