Covid-19: AADK perkenal 16 SOP di pusat pemulihan

Zulkifli (tengah) bersama pengamal media pada Majlis Makan Malam Apresiasi Semarak Kasih AADK 2020 di Hotel H Elite Design, Kota Bharu.
Zulkifli (tengah) bersama pengamal media pada Majlis Makan Malam Apresiasi Semarak Kasih AADK 2020 di Hotel H Elite Design, Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) memperkenalkan 16 prosedur operasi standard (SOP) di pusat pemulihan dan latihan seluruh negara dalam usaha memutuskan rantaian pandemik koronavirus (Covid-19).

Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, perlaksanaan SOP tersebut bermula sejak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan pandemik itu.

"Alhamdulillah, setakat ini AADK masih belum menerima sebarang kes jangkitan Covid-19 yang membabitkan pusat pemulihan atau di mana-mana program kendalian pihak kami," katanya ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Apresiasi Semarak Kasih AADK 2020 di Hotel H Elite Design di sini malam tadi.

Pada majlis tersebut, AADK Kelantan turut menyampaikan Anugerah Tokoh Kepulihan 2020 kepada 10 peserta bekas penagih dadah dari setiap daerah seluruh Kelantan.

Selain itu turut disampaikan juga sijil penghargaan media kepada tujuh agensi media elektronik dan cetak di negeri ini.

Hadir sama, Pengarah AADK Kelantan, Rohayu Ahmad dan Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Roslan Wan Hamat.

Menurutnya, antara SOP yang wajib dipatuhi seperti menjalani ujian saringan kesihatan dan membuat ujian calitan bagi mereka yang datang dari zon merah.

"Penjarakan fizikal juga turut dipraktikkan apabila kelas dan latihan dilakukan di kawasan lapang dan luas selain menghadkan jumlah latihan serta penyampaian modul," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, AADK turut memastikan proses penghantaran makanan yang mana setiap urusan hanya dilakukan di luar pusat pemulihan bagi memastikan tiada interaksi rapat berlaku dengan orang luar.

"Kakitangan AADK dinasihatkan supaya mematuhi SOP ditetapkan selain tidak memandang remeh panduan berkenaan," katanya.