PNS bantu asnaf melalui zakat RM1 juta

Zakaria (kanan) menyerahkan zakat perniagaan PNS kepada Zulkifli (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff di Wisma PPZ, Kuala Lumpur kelmarin.
Zakaria (kanan) menyerahkan zakat perniagaan PNS kepada Zulkifli (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff di Wisma PPZ, Kuala Lumpur kelmarin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbadanan Nasional (PNS) menyerahkan bayaran zakat perniagaan RM1,033,000 kepada Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019.

Sesi penyerahan zakat perniagaan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) itu disempurnakan oleh Pengerusi PNS, Datuk Zakaria Mohd Edris kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Wisma PPZ, Dataran Shamelin di sini kelmarin.

Zakaria berkata, penyerahan zakat perniagaan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif PNS untuk membantu meringankan beban golongan asnaf yang menempuh cabaran yang amat sukar akibat pandemik koronavirus (Covid-19) ketika ini.

“Pada masa yang sama, PNS akan menerima wang wakalah daripada PPZ-MAIWP sebanyak RM516,500 bersamaan 50 peratus daripada jumlah zakat perniagaan yang dibayar untuk diagihkan sendiri kepada golongan asnaf yang layak,” katanya.

Beliau berkata, pengagihan wang wakalah itu bakal memberi manfaat kepada 425 keluarga asnaf fakir dan miskin, 400 anak-anak asnaf fakir dan miskin, 20 asnaf preneurs, 244 pelajar di bawah kategori asnaf fisabilillah dan 10 pusat kebajikan.

“Ia merangkumi bantuan seperti bantuan Aidilfitri, bantuan sara hidup, bantuan keperluan harian, bantuan keperluan sekolah, bantuan modal perniagaan, bantuan pendidikan serta bantuan badan kebajikan,” katanya.

Artikel Berkaitan: