X

Kindly register in order to view this article
!

Waspada fenomena air pasang besar

Rozizah mengukur paras air yang melimpah ke kediaman penduduk di Losong, Kuala Terengganu malam tadi.
A
A

KUALA TERENGGANU - Penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran sungai diingatkan agar lebih berwaspada dengan fenomena air pasang besar yang boleh mengakibatkan banjir.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba Rozizah Abnihajar berkata, air pasang besar boleh mengakibatkan limpahan air di kawasan daratan dan boleh mengakibatkan banjir di kawasan berhampiran sungai.

"Kalau kita lihat hari ini hujan dari pagi sehingga tengah malam, mungkin menjadi salah satu punca air naik sehingga 1.5 meter di kawasan Losong.

"Penduduk perlu lebih waspada kerana kalau ikut ramalannya hujan sehingga malam esok," katanya ketika melakukan tinjauan fenomena air pasang besar di Losong malam tadi.

Rozizah dan pasukannya membuat tinjauan fenomena air pasang besar di Losong, Kuala Terengganu malam tadi.
Rozizah dan pasukannya membuat tinjauan fenomena air pasang besar di Losong, Kuala Terengganu malam tadi.

Menurutnya, bagi memastikan keselamatan penduduk, pasukannya akan sentiasa melakukan pemantauan di beberapa lokaliti yang dikenalpasti berisiko.

Pada masa yang sama, beliau meminta agar penduduk yang tinggal di kawasan berisiko untuk sentiasa peka dengan kenaikan paras air di kawasan mereka.

Selain itu, ibu bapa diingatkan agar mengawasi anak masing-masing daripada bermain air bagi mengelakkan kejadian lemas semasa musim peralihan Monsun Timur Laut.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!