Antara legenda, permata dan air mata

Sinar Harian kini kehilangan dua insan hebat dalam dunia kewartawanan negara iaitu Allahyarham Baharom (kanan) dan Allahyarham Abd Jalil (kiri).
Sinar Harian kini kehilangan dua insan hebat dalam dunia kewartawanan negara iaitu Allahyarham Baharom (kanan) dan Allahyarham Abd Jalil (kiri).
A
A
A

MENGENALI Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin selama lebih setahun enam bulan sejak beliau menyertai akhbar ini pada 1 April 2019 adalah satu tempoh yang singkat, namun cukup bermakna buat kami walaupun ilmu yang dituntut tertangguh sehingga semalam.

Wajahnya yang manis dengan senyuman dan mudah memulakan bicara, menangkis segala cakap-cakap awal tentang dirinya. Semuanya berkisarkan kisah yang menggerunkan buat kami sebagai wartawan terutama ketika beliau berkhidmat sebagai Pengarang Kosmo! selama hampir 10 tahun sebelum menyertai akhbar ini.

“Kalau kita lakukan sesuatu, kita kena bersedia 'push' diri kita sehingga ke paras tertinggi. Kita kena terus 'push' sehingga orang terpaksa minta kita berhenti.”

Masih terngiang-ngiang pesanan dititipkannya di telinga penulis, tidak lama sebelum beliau pergi meninggalkan warga Sinar Harian buat selama-lamanya pada jam 7.23 pagi semalam di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Kenangan bersama Allahyarham Baharom (berdiri, tengah) semasa meraikan ulang tahun ke-14 Sinar Harian.
Kenangan bersama Allahyarham Baharom (berdiri, tengah) semasa meraikan ulang tahun ke-14 Sinar Harian.

Dalam manis raut wajahnya, sudah tentu sebagai seorang bos besar ada ketika wataknya bertukar, namun begitulah asam garam bidang kewartawanan lebih-lebih lagi bagi seorang ketua yang mahukan kesempurnaan dalam setiap penghasilan berita oleh anak buahnya.

Itu juga adalah misinya dalam merevolusikan Sinar Harian, bukan sekadar berwajah baharu, malah mantap dalam penghasilan dan pengolahan berita.

Di sebalik ketegasan beliau dalam memastikan setiap bahan berita dihasilkan berkualiti dan menepati standard kewartawanan antarabangsa, Baharom yang lebih mesra dikenali ‘Datuk’ sebenarnya mempunyai sisi keperibadian yang sangat dihormati oleh kakitangan agensi berita yang pernah diterajui beliau, baik Utusan Malaysia, majalah Massa, akhbar Kosmo! dan terakhir, Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Ini terbukti apabila beratus-ratus wartawan yang pernah menjadi anak didiknya hadir bagi memberi penghormatan terakhir di Masjid Bilal Bin Rabbah, Taman Koperasi Polis, Kuala Lumpur.

Imam Masjid Bilal Bin Rabah, Ahmad Fathi Muhammad mengimamkan solat jenazah Allahyarham Baharom. Antara yang turut menunaikan solat jenazah itu ialah Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Imam Masjid Bilal Bin Rabah, Ahmad Fathi Muhammad mengimamkan solat jenazah Allahyarham Baharom. Antara yang turut menunaikan solat jenazah itu ialah Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR.

Mengimbau kembali hari-hari terakhir bersama Baharom sebelum beliau terlantar sakit pada 1 November lalu, paling diingati ialah beliau sempat membeli sekurang-kurangnya 20 helai kain batik di Teluk Panglima Garang, Selangor selepas bersama-sama menjayakan satu tugasan laporan khas berkenaan Belanjawan 2021.

Apabila ditanya mengapa Datuk membeli begitu banyak kain batik, jawabnya bersahaja, “Saja suka-suka. Pilih la nak yang mana?”

Sehelai kain batik diberikan kepada setiap daripada kami yang turut serta dalam tugasan tersebut. Tidak disangka itulah hadiah terakhir daripadanya. Terima kasih Datuk, hadiah ini cukup bermakna buat kami.

Tidak hanya kami di akhbar ini yang sekali lagi berduka selepas pemergian Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian, Datuk Abd Jalil Ali pada 8 Ogos lalu, rakan-rakan Baharom yang mengenalinya hampir 30 tahun juga begitu berat untuk menerima hakikat beliau kini sudah tiada.

Bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak yang begitu terkesan dengan kematian Allahyarham ke alam abadi menyifatkan pemergian Baharom antara satu kehilangan besar dalam industri akhbar.

Malah, sebagai seorang sahabat sejati, beliau melihat diri Baharom sebagai seorang yang penuh dinamik dalam membina kariernya dalam dunia kewartawanan.

“Dalam tempoh mencabar ini, beliau berjaya menjadikan Sinar Harian sebagai wadah lebih menarik dan menjadi akhbar pilihan pembaca untuk ditatap setiap hari,” katanya.

Pemergian Baharom satu kehilangan besar buat industri akhbar.
Pemergian Baharom satu kehilangan besar buat industri akhbar.

Rakan setugasnya ketika mula-mula menceburkan diri dalam dunia kewartawanan pada tahun 1991 di Utusan Malaysia, Datuk Ruhaidini Abd Kadir pula menyimpan pelbagai memori indah bersama dirinya.

Paling diingati Rudaini adalah ketika dirinya didiagnosis dengan kanser pada tahun 2014, Baharomlah antara sahabat yang pertama menziarahinya dan memberi kata-kata semangat serta kekuatan.

“Saya masih ingat lagi pesanan beliau. Dini harus kuat dan tabah kerana hanya dengan kekuatan dan ketabahan serta tawakal Dini dapat melawan kanser selain dengan ubat,” katanya.

Ruhaidini Abd Kadir
Ruhaidini Abd Kadir

Reda dengan pemergian Allahyarham, Ruhaidini menzahirkan rasa syukur dapat menunaikan hajat Allahyarham untuk menikmati hidangan ikan patin dan udang sungai, dua minggu sebelum beliau jatuh sakit.

Rakan karib Baharom selama lebih 20 tahun, Datuk Hakimsa Abdul Karim pula mengakui dirinya kehilangan sahabat yang sudah dianggap seperti ahli keluarga sendiri.

“Tidak terluah dengan kata-kata pemergian beliau. Kami sangat akrab dan sering keluar bersama, hubungan kedua-dua keluarga juga amat rapat,” kata Hakimsa yang juga pemilik Restoran Hakim yang terletak di Shah Alam.

Hakimsa Abdul Karim
Hakimsa Abdul Karim

Menurut Hakimsa, sepanjang persahabatan mereka, Baharom sering menjadi tempat rujukannya untuk bertanya pendapat atau nasihat sekiranya ada sebarang kemusykilan.

“Kita sudah mendoakan yang terbaik untuk beliau, namun ALLAH lebih menyayanginya,” katanya sayu.

Di sebalik kerjayanya dalam dunia kewartawanan, Allahyarham juga dilihat sebagai seorang insan yang begitu mencintai alam sekitar seperti yang dizahirkan oleh Presiden Pertubuhan Perlindungan Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil.

Shariffa Sabrina (lapan, kiri) dan Baharom (enam, kiri) pada satu program yang pernah diadakan.
Shariffa Sabrina (lapan, kiri) dan Baharom (enam, kiri) pada satu program yang pernah diadakan.

“Beliau sangat baik dan lemah lembut orangnya selain antara individu yang sering menyokong saya dari belakang.

“Allahyarham juga satu-satunya individu yang banyak membantu saya dalam bidang penulisan berkaitan penjagaan alam serta perjuangan saya dalam Peka sendiri,” katanya.

Apa yang pasti, pemergian Datuk Baharom amat dirasai semua yang mengenalinya. Bagi kami, sekali lagi, tempoh lebih setahun enam bulan cukup bermakna walaupun ilmu yang dituntut tertangguh sehingga semalam.

Terima kasih Datuk. Al-Fatihah.