Tingkatkan pelaburan dalam infrastruktur air sebelum terlewat

Tidak ada syarikat air kecuali di Kelantan, pada masa ini atau mempunyai infrastruktur untuk mengambil air bawah tanah memandangkan menggunakan air permukaan, seperti sungai dan anak sungai, lebih mudah dan murah.
Tidak ada syarikat air kecuali di Kelantan, pada masa ini atau mempunyai infrastruktur untuk mengambil air bawah tanah memandangkan menggunakan air permukaan, seperti sungai dan anak sungai, lebih mudah dan murah.
A
A
A

DI SAMPING Malaysia banyak menerima hujan dan juga mempunyai pelbagai sumber air, namun, gangguan bekalan air yang terpaksa ditanggung oleh masyarakat pengguna di negara ini dalam tempoh setahun, melebihi apa yang berlaku di negara padang pasir.

Sejak awal 2020, penduduk di Lembah Klang berhadapan dengan krisis ini hampir setiap bulan akibat pelbagai sebab, paling sering dijadikan alasan sejak beberapa bulan kebelakangan ini adalah pencemaran.

Bahagian lain Malaysia juga dilanda gangguan bekalan air atas sebab yang sama, mungkin tidak sekerap yang berlaku di Lembah Klang. Sebab-sebab lain yang diberikan termasuk kerja penyelenggaraan dan pembaikan, paip pecah dan bencana alam.

Sudah tentunya ramai yang mengeluh, menuduh kerajaan tidak cekap, undang-undang yang lemah, kurang penguatkuasaan serta pemantauan. Pakar serta aktivis mengesyorkan pelbagai kaedah lain serta sumber air untuk pertimbangan kerajaan bagi menghalang masalah ini berulang pada masa depan.

Saya yang pernah tinggal di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), sebuah negara padang pasir, gangguan bekalan air amat jarang berlaku. Kini setelah kembali ke Malaysia, sebuah negara tropika dengan sumber air yang banyak, sudah tentunya sukar untuk saya menerima gangguan bekalan air yang kerap berlaku.

Cuba fikirkan bagaimana negara dengan iklim padang pasir mampu menyediakan bekalan air yang konsisten kepada penduduknya, dan yang sebaliknya berlaku di negara yang banyak menerima hujan dan mempunyai sumber air yang banyak.

Ironinya, jawapan ada dalam persoalan ini, demikian menurut Mariam Al Serkal, editor Gulf News yang membuat liputan tentang isu bekalan air di UAE.

Menurut Al Serkal yang dihubungi Bernama menerusi WhatsApp dan emel, UAE perlu cekap dalam membekalkan air kepada penduduknya kerana kekurangan bekalannya. Dalam perkataan lain, kekurangan bekalan air di rantau itu membuatkan kerajaan membuat pelaburan yang sewajarnya untuk memastikan bekalan tersebut tidak terganggu.

Artikel Berkaitan:

“Sekiranya kami tak dapat memastikan bekalan air berterusan, kami pasti menghadapi masalah besar kerana ada sedikit sahaja sumber alternatif. Memandangkan air adalah komoditi yang berharga, jabatan kerajaan perlu memberi perhatian dalam hal ini, “ katanya.

Seperti banyak negara lain di Asia Barat, UAE mengggunakan proses desalination atau penyahgaraman untuk merawat air laut sebagai sumber utama air mentah.

Menurut portal sesawang kerajaan UAE, negara tersebut mempunyai sumber air bersih yang terhad, kebanyakannya, seperti kata Al Serkal, semakin kering atau tidak boleh digunakan. Menggunakan penyahgaraman menyediakan bekalan air bersih untuk penduduk UAE.

“Penyahgaraman adalah seperti kilang. Operasinya berterusan supaya bekalan air tidak terputus. Mereka mempunyai kuasa kewangan untuk menghasilkan air bersih agar tidak berlaku gangguan bekalan air, “ kata Prof Dr Ghufran Redzwan, pakar air di Institut Sains Biologi, Universiti Malaya.

Bagaimanapun, proses penyahgaraman menggunakan banyak tenaga dan melibatkan kos yang tinggi, dan oleh yang demikian ini bukan semestinya penyelesaian yang sesuai untuk masalah air Malaysia.

Sejak awal 2020, penduduk di Lembah Klang berhadapan dengan krisis ini hampir setiap bulan akibat pelbagai sebab.
Sejak awal 2020, penduduk di Lembah Klang berhadapan dengan krisis ini hampir setiap bulan akibat pelbagai sebab.

Untuk UAE, negara berpendapatan tinggi, Dh800 (Dh1 = RM1.13) sebulan untuk isi rumah lima-orang seperti Al Serkal dianggap “wajar”.

Sewaktu saya dan suami saya tinggal di Dubai, bil air saya sekitar Dh100 sebulan berbanding cuma RM6 sebulan di Malaysia untuk isi rumah dua orang.

Paling utama, penyahgaraman mempunyai kekangannya yang tersendiri.

Menurut Kertas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang diterbitkan pada bulan Ogos 2004 mengenai penyahgaraman, produk sampingan garam proses penyahgaraman lazimnya dibuang ke dalam laut, dengan demikian menjejaskan kemasinan air laut serta ekosistem marin. Sekiranya dibiarkan berterusan untuk jangka waktu yang panjang, kita mungkin melihat sesuatu seperti Laut Mati.

Jadi, penyahgaraman bukan pilihan yang baik; ianya terlalu mahal, dan kesan ke atas alam sekitar mungkin tidak berbaloi. Jadi apa pilihan lain yang kita ada?

Ada pihak yang mencadangkan supaya Malaysia menggunakan simpanan air bawah tanah sebagai sumber air mentah tetapi semua bersetuju penyesuaian besar perlu dilakukan.

Menurut Ghufran, menggunakan air bawah tanah pada masa ini tidak boleh dilaksanakan kerana tidak banyak maklumat yang ada tentang simpanan air bawah tanah di negara ini.

”Kita tak tahu berapa banyak kita ada. Kita tak boleh nampak kerana ia di bawah tanah. Kita hanya boleh buat ramalan kerana maklumat yang sukar untuk diperolehi, “ katanya, sambil menambah, isu air bawah tanah ini bak satu teka teki.

Ada orang dan syarikat sudah mengambil air bawah tanah di Malaysia dan ini dilakukan menerusi penggalian perigi, paip atau menggunakan pam.

Tidak ada syarikat air, kecuali di Kelantan, pada masa ini atau mempunyai infrastruktur untuk mengambil air bawah tanah, memandangkan menggunakan air permukaan, seperti sungai dan anak sungai, lebih mudah dan murah.

Sebagai tambahan, perlu ada sistem pemantauan dan menggantikan semua apa sahaja air bawah tanah yang digunakan bagi menjadi integriti tanah.

Mengambil air bawah tanah untuk kegunaan penduduk akan melibatkan kos yang tinggi, meskipun ia akan menjadi murah pada masa jangka panjang.

Ghufran juga tidak yakin kerajaan atau mana-mana syarikat bersedia untuk melabur untuk menyediakan rangka kerja yang diperlukan untuk menuai air bawah tanah.

“Secara perbandingannya, lebih murah membina empangan baharu berbanding mengganti sistem paip yang ada,” katanya.

Nampaknya buat masa sekarang kita terpaksa berpuas hati dengan menggunakan air permukaan sebagai sumber air mentah. Cuma di sebalik gangguan bekalan air serta kemarahan dan rungutan masyarakat pengguna, kerajaan di negara ini tidak pantas bertindak untuk menangani isu ini.

Dalam belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, sebanyak RM632 juta diperuntukkan bagi projek infrastrktur air di kawasan desa. Tidak ada yang disentuh tentang meningkatkan infrastruktur bagi menuai air bawah tanah sebagai sumber air untuk Malaysia.

Meskipun Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu Parlimen pada bulan Ogos lepas iaitu ada rancangan untuk memperuntukkan kira-kira RM10 bilion bagi memperbaiki rangkaian bekalan air di bawah pelan Malaysia ke-12 dan meletakkan semua di bawah sebuah kementerian, namun belum ada kepastian mengenainya.

Penganalisis ekonomi turut menggesa kerajaan supaya menambah pelaburan dalam insfrastruktur Malaysia.

“Ada alasan kuat untuk kerajaan menambah pelaburan ke dalam sektor infrastruktur Malaysia,” James Su, penganalisis Fitch Solutions Macro Research dipertik sebagai berkata kepada sebuah akhbar harian tempatan merujuk kepada paip air Malaysia yang sudah berzaman usianya.

Sementara itu, Kempen Nilai Air, yang dicetuskan oleh pertubuhan bukan membuat keuntungan, US Water Alliance, menekankan manfaat ekonomi dalam pelaburan untuk memperbaiki infrastruktur air, mewujudkan pekerjaan untuk membina dan menyelenggara di samping menarik pelabur untuk menubuhkam perniagaan kerana jaminan bekalan air yang mencukupi.

Pada pandangan saya, mungkin kita tidak berapa bersungguh-sungguh dalam hal ini kerana kita ada banyak sumber air, dengan memikirkan sumber air itu akan sentiasa ada. Gangguan bekalan air sememangnya menyakitkan hati tetapi tidak cukup untuk masyarakat pengguna menekan kerajaan agar bertindak.

Dengan kerancakan urbanisasi serta pertumbuhan penduduk di Malaysia, terutamanya di Lembah Klang, gangguan bekalan air akan menjadi bertambah buruk jika tiada perubahan dibuat ke atas sistem sedia ada.

Kebimbangannya adalah apabila kita terdesak untuk meningkatkan serta melindungi bekalan air kita, kosnya mungkin jauh lebih tinggi daripada kemampuan kita. - Bernama