[VIDEO] Hubungan Pas, UMNO tidak seakrab dahulu

Mustapha Yaakub
Mustapha Yaakub
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Veteran UMNO menyifatkan hubungan parti itu dengan rakan sekutunya dalam Muafakat Nasional (MN) iaitu Pas kini sudah tidak seakrab dahulu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, perubahan itu berlaku apabila Pas mendapat tempat dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sejak itu, katanya, hubungan erat antara UMNO dan Pas dilihat semakin renggang.

“Ya, hubungan antara Pas dengan UMNO tidak seintim dulu lagi khususnya selepas Pas mendapat jawatan dalam kerajaan.

“Orang kata kalau umpama orang yang baru kahwin, tidur tidak lagi berpelukan.

“Kita nampak dan kita sedar hubungan itu kini sedikit renggang, namun tidak ada pergeseran,” katanya menerusi laporan portal Malaysiakini semalam.

Mustapha bagaimanapun menjelaskan hubungan dua parti itu masih lagi elok tanpa sebarang pertelingkahan yang serius.

‘Bunga-bunga’ pergeseran di antara beberapa pemimpin UMNO dan Pas dilihat semakin berputik sejak kebelakangan ini.

Artikel Berkaitan:

Ia susulan kenyataan Timbalan Ketua Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang dilihat seolah-olah mengkritik kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubungan sokongan bersyarat UMNO terhadap Belanjawan 2021 yang disifatkan umpama ‘Hikayat Puteri Gunung Ledang’.

Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas memberi respons sedemikian berhubung kenyataan Najib yang mahukan kerajaan melanjutkan moratorium pinjaman dan membenarkan pencarum mengeluarkan wang daripada akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Letak syarat jika mahu sokong Belanjawan 2021 tidak munasabah'