Bekas jururawat 'hilang kaki' cekal teruskan hidup

Nismanah tidak mahu menyusahkan ahli keluarganya walaupun keupayaan terhad selepas terlibat kemalangan jalan raya tahun lalu.
Nismanah tidak mahu menyusahkan ahli keluarganya walaupun keupayaan terhad selepas terlibat kemalangan jalan raya tahun lalu.
A
A
A

SEREMBAN - Walaupun hilang kedua-dua belah kaki akibat kemalangan jalan raya tahun lalu, ia sama sekali tidak mematahkan semangat seorang bekas jururawat untuk meneruskan kehidupannya.

Jika dulu tugas R Nismanah, 26, menguruskan pesakit, tetapi kini dia terpaksa bertukar kerjaya sebagai pengukir inai dengan menjalankan perkhidmatannya itu dari rumah.

Baginya selagi masih bernyawa, dia akan terus berusaha tanpa menyusahkan sesiapa walaupun keupayaannya sudah terhad berbanding dahulu.

"Siapa yang tidak sedih, lebih-lebih lagi kemalangan yang berlaku dua hari sebelum sambutan Deepavali itu turut meragut nyawa teman lelaki saya.

"Tapi hidup perlu diteruskan dan sekarang saya buat bisnes kecil-kecilan dengan ambil upah membuat ukiran inai dan jual kek. Ia benda baru bagi saya, tapi dapatlah saya duit belanja tanpa harapkan sepenuhnya dari keluarga," katanya kepada Sinar Harian selepas menerima kunjungan daripada Masjid Arraudah Taman Rasa Sayang (Biro Kebajikan Bukan Islam).

Zulkifli (dua dari kanan) bertanyakan sesuatu kepada Nismanah ketika bekas jururawat itu menerima kunjung Biro Kebajikan Bukan Islam daripada Masjid Arraudah Taman Rasa Sayang.
Zulkifli (dua dari kanan) bertanyakan sesuatu kepada Nismanah ketika bekas jururawat itu menerima kunjung Biro Kebajikan Bukan Islam daripada Masjid Arraudah Taman Rasa Sayang.

Anak keempat daripada lima beradik itu bagaimanapun mengakui bukan mudah untuknya menerima hakikat yang kedua-dua kakinya telah tiada.

Namun kata Nismanah menangisi apa yang sudah terjadi hanyalah merugikan dirinya sendiri sedangkan kehidupan perlu diteruskan.

Artikel Berkaitan:

"Jadi saya perlu fikir ke depan bagaimana saya mahu teruskan hari-hari saya selepas ini tanpa menyusahkan keluarga. Saya tahu saya boleh jalan semula dengan menggunakan kaki palsu.

"Saya juga bersyukur kerana keluarga saya banyak beri sokongan. Keputusan saya buat ukiran inai dan jual kek ini pun atas dorongan keluarga selain mempelajarinya daripada YouTube," katanya.

Dalam pada itu Nismanah menyatakan rasa terharu dan tidak menyangka kerana menerima kunjungan daripada pihak masjid.

Sementara itu, Pengerusi Kariah Masjid Arraudah Taman Rasa Sayang, Zulkifli Mohamed berkata, selain mengambil maklum permasalahan masyarakat Islam, pihaknya juga tidak ketinggalan menggunakan pendekatan sama terhadap orang bukan Islam.

"Ini selaras dengan agama Islam sebagai penyebar rahmah kepada semua kaum. Ia bukan satu perkara yang janggal kerana menjaga kebajikan itu tiada batasnya.

"Malah usaha ini juga boleh dijadikan sebagai ruang untuk membetulkan salah faham antara kaum terhadap agama Islam selain memperkukuhkan perpaduan, ia ibarat serampang dua mata," katanya.