Bajet perlukan idea besar

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Parlimen pada 6 November lalu. - Foto Bernama
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Parlimen pada 6 November lalu. - Foto Bernama
A
A
A

SETIAP tahun akan ada satu hari di mana rakyat daripada pelbagai latar belakang baik penjawat awam, pekerja swasta, pelabur dan rakyat jelata pasti akan ternanti-nanti dengan penuh debaran. Hari itu adalah hari di mana Menteri Kewangan akan membentangkan belanjawan atau bajet negara.

Pada hari ini jugalah kita dapat menyaksikan bangunan Parlimen amat meriah kerana boleh dikatakan semua 222 ahli Dewan Rakyat di samping ahli Dewan Negara dan pengurusan tertinggi perkhidmatan awam akan hadir bagi mendengar pembentangan ini.

Penulis juga pernah diberikan amanah sebagai senator dan anggota pentadbiran kerajaan dan masih jelas di ingatan penulis akan perasaan teruja dan ingin tahu apakah perancangan kerajaan untuk setahun yang akan datang.

Pada 6 November lepas, rakyat telah dipersembahkan satu bajet terbesar dalam sejarah kewangan kerajaan sejak merdeka. Berbagai reaksi dilontarkan.

Perbahasan nasional mengenai Bajet 2021 ini menjadi lebih rancak apabila wakil-wakil rakyat heavyweight daripada parti-parti politik memberikan pandangan dan kritikan.

Lebih menarik apabila rakyat dapat melihat mantan-mantan Menteri Kewangan yang pernah menggalas tugas membentangkan bajet tahunan kerajaan sebelum ini berkongsi pengalaman dan perspektif mereka mengenai Bajet 2021.

Berkenaan belanjawan kerajaan ini, penulis mempunyai prinsip asas kepada bajet iaitu pertama, harus membawa kepada pertumbuhan ekonomi, kedua, harus menepati disiplin fiskal dan ketiga, berpaksikan kebajikan rakyat.

Namun, tahun 2020 dan 2021 adalah tahun-tahun yang luar biasa kerana penularan wabak Covid-19. Sudah pasti prinsip asas itu tidak boleh dituruti. Ini kerana Covid-19 adalah situasi luar biasa dan tentunya kerajaan harus mempersembahkan kepada rakyat penyelesaian luar biasa.

Artikel Berkaitan:

Penulis tertarik untuk mengangkat peranan bajet sebagai satu alat bagi kerajaan mempersembahkan visi yang rakyat mahukan. Bajet yang hebat bukan sahaja menyenaraikan perbelanjaan kerajaan, tetapi mengandungi falsafah pembangunan ekonomi negara yang boleh menjadi satu visi bersama untuk dicapai oleh kerajaan dan rakyat.

Bajet negara perlu mempunyai idea-idea besar sebagai satu sasaran yang harus dicapai sekali gus menjadi harapan untuk mereka terus melihat ke arah masa hadapan yang lebih gemilang.

Benar dan penulis akui, Bajet 2021 memberi fokus kepada memerangi Covid-19 dan mengembalikan trajektori pengembangan ekonomi negara ke laluan asal iaitu sebelum wabak ini wujud. Namun, kembali kepada keadaan pra-Covid-19 sahaja tidak cukup dan mudah kerana kebiasaan baharu dalam amalan rakyat mengubah bagaimana rakyat hidup dan berbelanja.

Rakyat amat memerlukan jalan keluar yang selesa untuk mereka kembali membina kerjaya, mengumpul kekayaan dan membina perniagaan.

Cuma penulis ralat melihat seorang mantan Menteri Kewangan yang dalam ucapan perbahasan Bajet 2021nya membawakan idea besar seperti ‘Dasar Pandang ke Borneo’. Beliau mencadangkan agar kerajaan segera memaksimumkan peluang daripada keputusan Indonesia yang mahu memindahkan ibu kota pentadbiran utamanya dari Jakarta ke Kalimantan.

Mengapakah kerajaan tidak dapat memikirkan idea sebegini atau sekurang-kurangnya memberi sedikit kredit kepada potensi limpahan pembangunan ekonomi daripada projek mega Indonesia yang bernilai hampir AS$33 bilion atau RM135 bilion.

Justeru, penulis berharap kerajaan dapat mengambil iktibar daripada perkembangan ini dan memastikan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 nanti tidak samar konsepnya.

Benar rakyat mahukan kemakmuran dikongsi bersama secara adil dan saksama, tetapi janganlah kabur bagaimana nak mencapainya. Ingatlah semua, rakyat kini sudah pandai menilai yang mana intan dan yang mana kaca.

* Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia