Ambil kira pekerja terjejas akibat dipotong gaji, elaun: MTUC

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) meminta kerajaan memperhalusi kriteria program i-Sinar yang diperkenalkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Timbalan Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, kriteria untuk ahli KWSP memohon program tersebut masih tidak menyeluruh kerana mereka yang masih bekerja tetapi terjejas kerana dipotong gaji, diberhentikan elaun dan tiada tidak tersenarai.

“Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh KWSP, mereka yang kurang sumber pendapatan serta dipotong gaji tidak diambil kira dalam kriteria yang layak memohon i-Sinar.

“Saya minta pihak kerajaan memperluaskan kriteria ini kepada golongan tersebut kerana mereka juga wajar dibantu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Mohd Effendy juga merayu kerajaan meningkatkan jumlah minimum pengeluaran berkala dan memendekkan tempoh pengeluaran bagi individu yang mempunyai baki akaun satu RM90,000 dan ke bawah.

“Contohnya jika pencarum mempunyai RM4,500 dalam akaun satu, pihak kerajaan boleh menaikkan kadar pengeluaran daripada RM750 untuk enam bulan kepada RM1,000 untuk empat bulan.

“Kita tidak tahu jika golongan ini adalah ahli yang baru bekerja atau baru mula mencarum kerana golongan ini turut terkesan dengan kemerosotan ekonomi dan wajar dibantu,” katanya.

Beliau juga menyambut baik inisiatif pihak kerajaan untuk membenarkan ahli KWSP bersasar mengeluarkan wang daripada akaun satu mereka.

Artikel Berkaitan:

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz kerana menerima saranan dan cadangan yang dikeluarkan oleh ramai pihak.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana memperluaskan skop ahli daripada 600,000 kepada dua juta ahli yang layak untuk menerima manfaat ini,” katanya.

Semalam, kerajaan telah membenarkan pencarum KWSP yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau tiada sumber pendapatan untuk mengeluarkan wang dari akaun satu sehingga RM60,000 melalui program i-Sinar.

Program tersebut bakal memberi manfaat kepada dua juta ahli yang layak dengan mendapat akses sebanyak 10 peratus daripada akaun satu mereka untuk mereka yang mempunyai baki lebih daripada RM90,000.

ARTIKEL BERKAITAN:Pembangkang minta perluaskan lagi penerima i-Sinar KWSP

[VIDEO] Ahli tidak perlu bayar balik kemudahan pendahuluan i-Sinar: KWSP

Najib gesa KWSP perluas skim i-Sinar