Tumpu kesan kes aktif di bilik sewa sesak

Petugas kesihatan Labuan memberikan tumpuan mengesan kes aktif Covid-19 di bilik dan rumah sewa yang sesak di bangunan kedai di pusat bandar Labuan. - Foto Bernama
Petugas kesihatan Labuan memberikan tumpuan mengesan kes aktif Covid-19 di bilik dan rumah sewa yang sesak di bangunan kedai di pusat bandar Labuan. - Foto Bernama
A
A
A

LABUAN - Bermula hari ini, petugas kesihatan Labuan mengalihkan tumpuan mereka dalam mengesan kes aktif Covid-19, dari penempatan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) ke bilik dan rumah sewa yang sesak di bangunan kedai di pusat bandar.

Pengesanan kes aktif bersepadu itu dijalankan dengan kerjasama kontinjen Polis Labuan dan Jabatan Imigresen, menyasarkan pesakit positif Covid-19 yang mungkin tinggal di sana.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari berkata, pengesanan kes aktif dilakukan di bangunan kedai berhampiran Jalan Bunga Kemuning dan Jalan Bunga Layang kerana beberapa pesakit Covid-19 didapati menyewa di kawasan itu.

“Semasa kami melakukan analisis jangkitan Covid-19 di beberapa kawasan terutama di lot kedai, kami dapati di beberapa tempat lebih lima orang tinggal dalam satu bilik dengan pengudaraan yang lemah,” katanya kepada Bernama hari ini.

Kes pengesanan yang dijalankan di bilik yang disewa di premis lot kedai hari ini mendedahkan lebih 10 peratus penyewa bukan warganegara Malaysia.

Dr Ismuni berkata, sekatan yang dijalankan di penempatan pelarian UNHCR di Kampung Muslim dan Kiamsam serta di kawasan setinggan atas air di Saguking Laut dan Sebor akan terus dipantau walaupun menyaksikan penurunan ketara kes beberapa hari lalu.

Pengesanan kes aktif di kawasan kampung tempatan masih diteruskan dengan lebih 10 daripada 27 kampung telah diliputi setakat ini dan kurang kes dikesan.

Labuan merekodkan penurunan ketara kepada satu angka kes Covid-19 pada Isnin berbanding seminggu lepas dan pulau bebas cukai itu masih mempunyai lima kluster aktif iaitu Saguking dengan 394 kes, Tenaga (119), Titian (65), Limbungan (54) dan Bina (50). - Bernama

Artikel Berkaitan: