Covid-19: KKM kenal pasti lima lagi kluster baharu

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti lima kluster baharu hari ini melibatkan Sabah, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu, kata Ketua Pengarah Kesihatan,Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, dua daripada kluster baharu itu adalah di Sabah, dengan Kluster Avenue melibatkan Daerah Penampang dengan kes indeks merupakan seorang penyelia tapak pembinaan yang telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 8 November.

Katanya, individu terbabit dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Sabah dan setakat 12 tengah hari ini hasil saringan kontak rapat mengesan 109 lagi kes positif Covid-19 daripada 246 individu yang disaring.

Selain itu menurutnya di negeri sama, Kluster Kejora melibatkan Daerah Kota Kinabalu dengan kes indeks dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 9 November dan dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth.

"Saringan kontak rapat telah mengesan lapan lagi kes positif Covid-19. Sehingga 17 November, 12 tengah hari, 71 individu telah disaring, dan sembilan kes dikesan positif, manakala 62 individu dikesan negatif," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, Kluster Kasah pula melibatkan Daerah Kepong di Kuala Lumpur dan kesemua kes merupakan bukan warganegara serta mereka telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Menurutnya, kes-kes bagi kluster itu telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan kumpulan berisiko tinggi iaitu pekerja di sebuah syarikat keselamatan hari ini dan setakat 12 tengah hari tadi, 19 kes dikesan positif daripada 70 individu yang disaring.

Kluster Summer pula melibatkan Daerah Timur Laut, Pulau Pinang dengan kes indeks dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 10 November dan saringan kontak rapat mengesan 10 lagi kes positif, yang semuanya dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Kluster Mengketil pula melibatkan Daerah Kota Bharu, Machang dan Tanah Merah di Kelantan serta Daerah Besut, Terengganu dengan kes indeks merupakan kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) dan dikenal pasti positif Covid-19 pada 13 November.

Individu terbabit dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kelantan dan saringan kontak rapat mengesan 23 lagi kes positif Covid-19.

Dr Noor Hisham berkata lima kluster diisytiharkan tamat hari ini iaitu Kluster Bangau-Bangau di Sabah, Kluster Tasik (Selangor dan Sarawak), Kluster Olive (Selangor dan Sabah), Kluster Buang Sayang (Sabah, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan) serta Kluster Kau Sing (Sabah). - Bernama