Cubaan seludup 300kg ganja, 1.5 tan daun ketum gagal

Mohd Zawawi menunjukkan ketulan ganja mampat yang dirampas pada sidang media di Pejabat Zon Maritim Kuala Perlis hari ini. - Foto FB APMM
Mohd Zawawi menunjukkan ketulan ganja mampat yang dirampas pada sidang media di Pejabat Zon Maritim Kuala Perlis hari ini. - Foto FB APMM
A
A
A

KUALA PERLIS - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis (ZMKP) mematahkan cubaan seludup ketulan ganja mampat seberat 300 kilogram (kg) bernilai kira-kira RM910,000 dan 1.5 tan daun ketum dianggarkan bernilai RM120,000 dalam dua operasi khas membanteras penyeludupan dadah di perairan Perlis.

Pengarah (APMM) Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, dalam serbuan pertama pada 15 November lalu, sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran ditahan pada jarak lebih kurang 2.7 batu nautika dari barat laut pantai Kuala Sanglang, Perlis kira-kira jam 4.20 pagi.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot berkenaan menemukan 17 bungkusan plastik hitam berisi ketulan ganja mampat dengan anggaran berat satu kilogram setiap satu. Setiap bungkus diikat berbentuk kotak dan dibalut kemas dengan plastik dipercayai cuba diseludup masuk ke negara jiran,” katanya pada sidang media di Pejabat Zon Maritim Kuala Perlis di sini hari ini.

Sementara itu tangkapan kedua melibatkan cubaan menyeludup keluar 1.5 tan daun ketum menggunakan bot fiber di perairan Kuala Perlis pada 16 November, sehari selepas kejadian tangkapan ganja di Kuala Sanglang.

Bungkusan berisi daun ketum yang dirampas dalam operasi khas membanteras penyeludupan dadah di perairan Perlis. - Foto FB APMM
Bungkusan berisi daun ketum yang dirampas dalam operasi khas membanteras penyeludupan dadah di perairan Perlis. - Foto FB APMM

Zawawi berkata, dalam serbuan kedua tersebut, sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran berjaya dipintas di kedudukan 0.7 batu nautika daripada barat muara Kuala Perlis kira-kira jam 12.15 tengah malam.

Katanya, APMM mengesan bot tersebut dalam keadaan mencurigakan dengan muatan karung (guni) berwarna merah jambu seperti bawang sebelum tekong bot fiber itu bertindak memecut laju hingga bot meluncur ke darat dan melarikan diri bersama dua awak-awak tanpa sempat menyelamatkan muatan yang dibawa dalam bot.

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan berlaku sistem pertukaran barangan (barter trade) yang menjadi trend di sempadan perairan negara ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

Katanya kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952. - Bernama