Pastikan jarak gerai ikut SOP, kata Annuar

Tangkap layar ciapan Annuar pada laman Twitternya hari ini.
Tangkap layar ciapan Annuar pada laman Twitternya hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peniaga yang mengikuti inisiatif Wilayah Bebas Berniaga diingatkan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, jarak antara gerai perlu diberikan perhatian oleh peniaga.

“Gerai peniaga diwajibkan mematuhi SOP KKM terutama jarak satu gerai ke satu gerai.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak akan mengeluarkan lesen sementara selagi SOP KKM tidak dipatuhi sepenuhnya,” menurut ciapan di Twitter beliau hari ini.

Beliau turut memohon kerjasama warga Wilayah Persekutuan untuk bersama-sama mengekang penularan koronavirus (Covid-19).

Terdahulu, Kementerian Wilayah Persekutuan memperkenalkan inisiatif Wilayah Bebas Berniaga selama enam bulan bermula Ahad lalu sebagai membantu meringankan beban warga kota yang terjejas Covid-19 yang permohonan lesen perniagaan sementara boleh dibuat melalui laman web DBKL.

Peniaga disyaratkan berniaga di lokasi yang bersesuaian iaitu tidak menyebabkan halangan, kesesakan lalu lintas atau mengancam keselamatan awam selain menjaga kebersihan ibu kota.

Artikel Berkaitan: