Rugi hampir RM3 juta, ikan sangkar mati berperingkat

Ikan sangkar yang diternak mati secara berperingkat sejak 10 November lalu.
Ikan sangkar yang diternak mati secara berperingkat sejak 10 November lalu.
A
A
A

MARANG - Seramai 12 penternak ikan sangkar di Kampung Gong Tepah di sini kerugian hampir RM3 juta apabila ikan ternakan mereka mati secara berperingkat sejak 10 November lalu.

Ia dipercayai akibat pencemaran air dan kekurangan oksigen.

Difahamkan, kejadian itu berlaku sebanyak dua kali iaitu pada 10 November lalu dan kemuncaknya pada 15 November lalu.

Penternak ikan sangkar, Ahmad Mokhtar Taib, 30, berkata, keluarganya kerugian lebih RM300,000 apabila sebanyak 80 peratus ikan yang diternaknya mati.

“Saya perasan semasa gelombang pertama pada Selasa lepas apabila air tidak mengalir seperti biasa menyebabkan ikan kekurangan oksigen. Pada masa itu sudah ada ikan yang mati. Dua hari kemudian keadaan kembali baik.

“Tapi gelombang kedua bermula pada Sabtu lalu. Lebih banyak ikan mati disebabkan air keruh dan berlumpur. Penternak di sini syak ia mungkin disebabkan pencemaran sungai memandangkan ikan diselaputi selut termasuk hingga ke insang.

Penternak ikan sangkar di Kampung Gong Tepah, Marang ini menunjukkan ikan-ikan yang masih hidup.
Penternak ikan sangkar di Kampung Gong Tepah, Marang ini menunjukkan ikan-ikan yang masih hidup.

"Kita tahu kalau ikan diselaputi selut memang ada masalah menyebabkan ikan mati,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Mokhtar berkata, dia menternak ikan siakap putih, siakap merah dan kerapu hibrid.

Seorang lagi penternak ikan, Taib Sulaiman, 58, berkata, dia mula menternak ikan sangkar sejak tahun 2004 dan ini merupakan kejadian pertama yang penternak di situ.

“Saya sudah berbelas tahun menternak ikan. Walaupun hujan lebat dan banjir sekalipun, tiada masalah. Tapi kali ini pelik kerana air bertukar keruh dan berlumpur. Tidak tahu datang dari mana. Sebab itu kita syak ia disebabkan pencemaran air.

“Saya ada sebanyak 52 sangkar dan setiap sangkar ada antara 800 ke 1,000 ekor ikan. Setakat ini 80 peratus ikan mati. Tahun ini paling menyedihkan sebab ikan yang ada yang mencecah sehingga lima kilogram tetapi tidak dapat dipasarkan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Tidak banyak yang terjual, selepas itu berlaku pula musibah sebegini. Tahun depan tak tahulah macam mana. Kalau boleh saya minta Jabatan Perikanan Terengganu siasat lumpur ini datang dari mana kerana jika berterusan sukar untuk kami terus mengusahakan ternakan ikan sangkar ini,” katanya.

Beliau turut mengharapkan agar kerajaan dapat membantu, sekurang-kurangnya memberikan bantuan benih ikan atau bantuan lain bagi mengurangkan beban kerugian yang terpaksa ditanggung.

Nasaruddin Samsudeng
Nasaruddin Samsudeng

Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng ketika ditemui berkata, pihaknya sudah menerima aduan daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Desa Permai Darat Pak Chan pada 10 November lalu.

Susulan itu, katanya, pihaknya telah menghubungi Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perikanan Terengganu untuk turun mengambil sampel air sungai.

“Kita masih menunggu laporan siasatan bagi mengenal pasti adakah benar dakwaan ia berpunca daripada pencemaran air. Saya sendiri sudah membuat perbincangan dengan Jabatan Perikanan Terengganu dan Jabatan Alam Sekitar.

"Isu ini juga sudah dalam makluman Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang dan Exco Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dr Azman Ibrahim.

“Kita juga telah menghantar borang permohonan mereka untuk tabung bencana negeri dan akan terus bantu dapatkan maklumat daripada jabatan berkaitan. Nasihat saya, apa-apa aduan dan permasalahan boleh rujuk kepada MPKK.

"Insya-ALLAH kita akan bincang dengan jabatan berkaitan,” katanya.