X

Kindly register in order to view this article
!

JKN Perak tingkat saringan Covid-19 dalam komuniti

Jabatan Kesihatan Negeri Perak meningkatkan saringan dalam komuniti sebagai langkah membendung penularan Covid-19. - Foto Bernama (Gambar hiasan)
A
A

IPOH - Jabatan Kesihatan Negeri Perak mengambil beberapa langkah drastik bagi membendung penularan koronavirus (Covid-19) selepas negeri itu mencatatkan 616 kes dengan tiga kematian sepanjang tempoh gelombang ketiga pandemik tersebut.

Pengarahnya, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, pihaknya telah meningkatkan saringan Covid-19 dalam komuniti sebagai langkah kawalan dan pencegahan selain memantau kes-kes positif yang dilaporkan.

Menurutnya, hasil pemantauan dalam tempoh 14 hari itu, mukim Ipoh di daerah Kinta melaporkan 53 kes baharu.

"Selain itu, pihaknya melakukan pengesanan kontak rapat kepada setiap kes positif dan membuat saringan serta kuarantin selama 14 hari di stesen kuarantin yang disediakan.

"Bagi lokaliti yang dikenal pasti dengan kadar jangkitan yang membimbangkan, aktiviti pencegahan diperkukuhkan lagi dengan pengesanan kes aktif," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, saringan kesihatan kepada penduduk yang berisiko akan dijalankan dan diambil sampel ujian Covid-19.

"Mereka yang disaring akan diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) sehingga keputusan ujian diperoleh.

"Semua fasiliti kesihatan yang beroperasi dalam mukim Ipoh telah diminta untuk meningkatkan saringan gejala Covid-19 bagi pesakit-pesakit yang mendapatkan rawatan terutama pesakit dengan gejala jangkitan saluran pernafasan atas," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta arahan-arahan kerajaan dari masa ke masa.

Katanya, sehingga hari ini sebanyak 885 kes dilaporkan diseluruh negeri dengan sembilan kematian dilaporkan.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!