Empat syarikat rugi RM2.29 juta, akaun bank digodam

Cai Tung (tengah) dan lima wakil syarikat yang kerugian akibat akaun bank mereka digodam sindiket penipuan dalam talian mengadakan sidang akhbar di Pejabat ADUN Johor Jaya, Taman Johor Jaya, Johor Bahru hari ini.
Cai Tung (tengah) dan lima wakil syarikat yang kerugian akibat akaun bank mereka digodam sindiket penipuan dalam talian mengadakan sidang akhbar di Pejabat ADUN Johor Jaya, Taman Johor Jaya, Johor Bahru hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Empat syarikat mendakwa kerugian RM2.29 juta apabila akaun bank masing-masing digodam satu sindiket penipuan dalam talian.

Seorang pengurus yang hanya mahu dikenali sebagai Tang, 43, mendakwa, akaun bank syarikatnya yang menjual peralatan dapur digodam dan kejadian tersebut disedari akauntan mereka semasa melakukan semakan kewangan.

“Apabila pemeriksaan dilakukan didapati akaun bank pembekal dan nombor pengenalan peribadi (ID) syarikat telah diubah sekitar jam 8.20 pagi pada 4 Ogos lalu.

“Kami biasanya membuat pembayaran kepada pembekal pada setiap akhir bulan dan transaksi selalunya berjaya tanpa sebarang masalah.

“Namun kali ini pembayaran dibuat ke lima akaun dengan nombor ID berlainan tanpa diketahui melibatkan jumlah RM1.4 juta. Beberapa suspek sudah pun berjaya ditangkap,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya di sini hari ini.

Tang mendakwa, selepas melakukan transaksi beberapa suspek pergi ke bank dan mengeluarkan wang tunai dalam jumlah yang amat besar, malangnya pihak bank tidak melakukan semakan atau pengesahan sebelum membenarkan wang itu dikeluarkan.

Sementara itu, seorang ahli perniagaan yang mahu dikenali sebagai Chong, 59, mengatakan penggodam dapat melakukan transaksi RM199,717 daripada akaun bank syarikatnya pada 4 Ogos lalu.

“Saya menerima panggilan telefon daripada pembekal mengatakan mereka tidak mendapat pembayaran. Saya rasa pelik kerana pembayaran sudah pun dibuat tetapi apabila saya membuat semakan dengan pihak bank, RM199,717 hilang dan sekitar 29 transaksi dibuat ke dalam akaun yang tidak diketahui pada 28 Julai lalu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Seorang pengurus kilang yang mahu dikenali sebagai Ho, 50, syarikatnya turut mengalami nasib yang sama apabila berlaku 41 transaksi dalam talian berjumlah RM181,677 pada 21 September lalu.

Jelas beliau, transaksi tersebut berlaku tanpa pengetahuan dan dimasukkan ke dalam akaun sebuah syarikat yang tidak diketahui.

Dalam kes terakhir, seorang kerani pentadbiran, Tan, 29, berkata, dia cuba masuk ke akaun syarikatnya untuk membuat pembayaran kepada pembekal pada September lalu tetapi tidak berjaya.

“Saya dapati sekitar RM500,000 telah dipindahkan daripada akaun kami ke akaun lain tanpa pengetahuan pihak syarikat,” katanya.

Sementara itu, ADUN Johor Jaya, Liow Cai Tung yang mengadakan sidang akhbar mengenai perkara tersebut memberitahu, semua syarikat terbabit sudah membuat laporan polis dan berharap orang ramai lebih peka serta waspada.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah mengesahkan ada menerima laporan polis dan memaklumkan siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 (3) Akta Jenayah Komputer.