FAM nafi laporan Malaysia rancang tarik diri

FAM tidak merancang menarik diri daripada Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 serta Piala Suzuki AFFFAM. Gambar kecil: Stuart Ramalingam
FAM tidak merancang menarik diri daripada Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 serta Piala Suzuki AFFFAM. Gambar kecil: Stuart Ramalingam
A
A
A

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menafikan dakwaan satu portal bola sepak Kemboja yang mendakwa skuad Harimau Malaya merancang menarik diri daripada meneruskan baki perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 serta Piala Suzuki AFF.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam melalui kenyataan ringkas berkata, laporan media luar negara di laman sesawang https://cambodiafootballnews.com itu adalah tidak benar.

“Kami di FAM tidak mempunyai sebarang rancangan untuk menarik diri daripada mana-mana pertandingan yang dinyatakan itu,” jelasnya ringkas dalam satu pesanan WhatsApp hari ini.

Laporan media itu menyatakan Malaysia merancang untuk menarik diri ekoran pandemik koronavirus (Covid-19) yang mempengaruhi persiapan pasukan kebangsaan, untuk menghadapi kedua-dua kejohanan berkenaan.

Terdahulu, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memutuskan untuk menangguhkan aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, susulan situasi semasa pandemik Covid-19.

Penundaan itu membabitkan aksi Harimau Malaya dalam Kumpulan G yang sebelum ini dijadualkan berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 8 Oktober, menentang Vietnam (13 Oktober) dan Thailand (17 November).

Sementara itu, Piala Suzuki AFF 2020 yang turut terjejas akibat pandemik Covid-19, kini dijadualkan semula dari 11 April hingga 8 Mei tahun hadapan.

Kejohanan itu akan dianjurkan dalam format sepenuhnya, bermain di tempat sendiri dan di tempat lawan di seluruh negara Asia Tenggara yang layak. - Bernama

Artikel Berkaitan: