Pasangan kekasih sewa hotel bajet untuk lepas gian

Anggota AADK melakukan pemeriksaan di sebuah bilik hotel bajet di Juru yang dijadikan tempat pasangan kekasih melepaskan gian dadah.
Anggota AADK melakukan pemeriksaan di sebuah bilik hotel bajet di Juru yang dijadikan tempat pasangan kekasih melepaskan gian dadah.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM- Pasangan kekasih sanggup menyewa bilik di sebuah hotel bajet di Juru, di sini semata-mata mahu melepas gian dadah bersama rakan-rakan mereka.

Bagaimanapun, perbuatan mereka berjaya dikesan selepas bilik berkenaan diserbu sepasukan anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) pagi semalam.

Pengarah AADK Negeri, Elmariah Chung berkata, serbuan dilakukan jam 10 pagi itu hasil maklumat orang awam yang curiga melihat pasangan berkenaan sering keluar masuk bersama beberapa orang rakan.

Menurutnya, siasatan mendapati pasangan terbabit menyewa selama empat hari bilik berkenaan dan sepanjang tempoh itu mereka bersama rakan lain dilihat dalam keadaan mencurigakan.

"Pemantauan dijalankan oleh bahagian aduan dan risikan AADK Seberang Perai Tengah sebelum bertindak memeriksa bilik berkenaan.

"Ketika serbuan hanya pasangan kekasih itu yang berada di dalam bilik dan ujian saringan air kencing dilakukan mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Elmariah berkata, semakan dibuat mendapati lelaki 32 tahun itu mempunyai rekod dadah sebelum ini manakala pasangannya baru terjebak dengan dadah sejak Mac lalu selepas pulang ke kampung.

Katanya, pasangan terbabit ditahan reman di lokap AADK dan akan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah 1983 (Rawatan & Pemulihan) Pindaan 1998.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, sabit kesalahan mereka boleh dihukum menjalani pemulihan AADK selama dua tahun atau menjalani pemulihan dalam komuniti dalam tempoh dua hingga tiga tahun.