'Hanya unit kecemasan ditutup'

Notis penutupan Klinik Kesihatan Marang yang tular dalam media sosial hari ini. - Foto Media sosial (Gambar kecil: Dr Alias)
Notis penutupan Klinik Kesihatan Marang yang tular dalam media sosial hari ini. - Foto Media sosial (Gambar kecil: Dr Alias)
A
A
A

MARANG – Klinik Kesihatan Marang tidak ditutup sepenuhnya sebagaimana tular dalam media sosial hari ini berikutan terdapat individu positif koronavirus (Covid-19) yang berkunjung ke klinik itu semalam.

Sebaliknya, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, hanya unit kecemasan klinik terbabit ditutup sementara bagi memberi laluan kepada proses sanitasi dan nyahkuman.

“Berlaku sedikit salah faham dalam perkara ini. Sepatutnya bahagian kecemasan sahaja ditutup bukan seluruh klinik dan ia sudah pun diperbetulkan,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi hari ini.

Dr Alias turut mengesahkan seorang individu yang hadir ke unit kecemasan Klinik Kesihatan Marang semalam positif Covid-19 dan kini dirawat di hospital.

Beliau berkata, individu berkenaan datang ke unit kecemasan bagi mendapatkan rawatan selepas mengalami batuk dan selesema lalu diminta menjalani ujian calitan (swab test) sebelum disahkan positif Covid-19.

“Individu ini mempunyai sejarah perjalanan ke Kelantan dan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) sedang melakukan pengesanan kontak rapat pesakit.

“Kakitangan klinik yang merawat pesakit ini juga akan dikuarantin,” katanya.

Semalam, Terengganu merekodkan empat kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes negeri ini sebanyak 229 kes.

Artikel Berkaitan:

Empat kes baharu itu dikesan di Kampung Raja, Besut yang merupakan kontak rapat iaitu ahli keluarga kepada kes indeks di Machang, Kelantan.

Keempat-empat kes tersebut dikategorikan sebagai kes import B (merentasi negeri) dan telah dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu untuk pengasingan dan rawatan.

Bagi membendung penularan, JKNT mengambil langkah segera dengan mengenal pasti, menyaring dan mengasingkan kontak-kontak rapat kes serta menutup sebuah masjid dan kafe bagi tujuan sanitasi.

JKNT juga meminta mana-mana individu yang datang ke Terengganu dari kawasan zon kuning dan merah supaya tampil ke mana-mana klinik kesihatan atau hospital untuk menjalani penilaian risiko dan saringan.