'Arwah tak sempat bantu 10,000 penduduk terkesan Covid-19'

Aznel (kiri) mengiringi jenazah Allahyarham dari Masjid Jamek Gerik sehingga ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang, Gerik hari ini.
Aznel (kiri) mengiringi jenazah Allahyarham dari Masjid Jamek Gerik sehingga ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang, Gerik hari ini.
A
A
A

GERIK - Menyalurkan bantuan kepada 10,000 penduduk terjejas akibat penularan koronavirus (Covid-19) di sekitar Parlimen Gerik antara hajat Ahli Parlimen Gerik, Allahyarham Datuk Hasbullah Osman yang tidak kesampaian.

Perkara itu diluahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim yang memaklumkan program tersebut sudah dirancang bulan lalu bersama-sama.

Menurutnya, Allahyarham memang bersungguh-sungguh mahu mengadakan program tersebut namun tidak kesampaian.

"Perjumpaan itu merupakan pertemuan kali terakhir kami bersama. Dalam perjumpaan itu, kita dah susun untuk beri bantuan Covid-19 untuk 10,000 rumah di sekitar Parlimen Gerik.

"Itulah hajat terakhir Allahyarham. Itu yang saya cukup-cukup sedih," katanya yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Perak kepada pemberita selepas ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gerik itu berkata, jika peruntukan untuk melaksanakan program itu diluluskan, pihaknya akan meneruskan hasrat Allahyarham kerana ia menggunakan peruntukan Ahli Parlimen Gerik.

Sementara itu, bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali berkata, pemergian Allahyarham satu kehilangan besar buat warga Gerik.

Katanya, mereka bersama sejak tahun 1986 apabila Allahyarham meletak jawatan sebagai guru untuk menjadi setiausaha sulit beliau.

Artikel Berkaitan:

"Sejak dari itu, kami satu pejabat sampai tahun 2008. Selepas Barisan Nasional (BN) tewas di Perak, kami pun berpisah.

"Apa yang saya boleh gambarkan, Allahyarham seorang yang sangat rajin dan komited dengan tugas sebagai wakil rakyat," katanya yang turut hadir menziarahi jenazah Allahyarham.

Beliau berkata, antara jasa terbesar Hasbullah adalah mengusahakan Jalan Kroh ke Lenggong melalui peruntukan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghaffar Baba.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahli Parlimen Gerik meninggal dunia

Jenazah Hasbullah selamat dikebumi

Semalam, Hasbullah disahkan meninggal dunia di Hospital Raub, Pahang akibat serangan jantung.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang, di sini jam 11.45 pagi tadi.