Masjid jadi pusat aktiviti ekonomi

 Mohd Ajib Ismail
Mohd Ajib Ismail
A
A
A

SHAH ALAM - Fungsi masjid bukan sahaja dihadkan kepada urusan ibadat semata-mata, sebaliknya ia mempunyai skop yang lebih luas.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Ajib Ismail berkata, selain mengimarahkan masjid dalam bentuk kerohanian, aktiviti muamalat dan ekonomi juga boleh dijalankan untuk menambah dana dan membiayai semua aktiviti masjid tanpa perlu bergantung kepada kerajaan.

"Pada zaman Rasulullah SAW, masjid bukan sahaja sebagai tempat beribadat, tetapi juga pusat pentadbiran, dakwah dan kegiatan ekonomi.

“Rasulullah sendiri menekankan kepentingan masjid di mana di setiap masjid turut dibina pasar untuk memberi peluang kepada kaum Muhajirin dan Ansar berkecimpung dalam perniagaan.

“Dengan adanya aktiviti ekonomi seperti itu, ia turut mampu menjana pendapatan sampingan kepada masjid berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Wacana Al-Quran bertajuk ‘Masjid: Menyumbangkah kepada ekonomi negara yang diadakan secara langsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf di sini semalam.

Mohd Ajib (dua dari kanan) bersama Noor Azman (dua dari kiri) sebagai panelis Program Wacana Al-Quran bertajuk ‘Masjid: Menyumbangkah kepada ekonomi negara dan Ketua Penyelidik Yayasan Wawasan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail (kiri) selaku moderator serta qari jemputan, Ustaz Tarmizi Abdul Rahman (kanan).
Mohd Ajib (dua dari kanan) bersama Noor Azman (dua dari kiri) sebagai panelis Program Wacana Al-Quran bertajuk ‘Masjid: Menyumbangkah kepada ekonomi negara dan Ketua Penyelidik Yayasan Wawasan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail (kiri) selaku moderator serta qari jemputan, Ustaz Tarmizi Abdul Rahman (kanan).

Dalam wacana berkenaan, beliau bergandingan dengan Profesor Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Noor Azman Ali sebagai panelis dan Ketua Penyelidik Yayasan Wawasan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail selaku moderator serta qari jemputan, Ustaz Tarmizi Abdul Rahman yang membacakan surah al-Taubah.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihaknya mengambil roh perjuangan Rasulullah SAW dan sahabat untuk menggerak dan mengimarahkan institusi ini agar ia dapat menyumbang kepada ekonomi masyarakat Islam.

“Di Wilayah Persekutuan kita mempunyai kira-kira 89 masjid dan surau Jumaat yang berkeupayaan sebagai pusat pengimarahan selain sebagai pusat pengekonomian sebahagian umat islam.

“Bila kita tengok bagaimana nabi membangunkan masjid, ia memberi semangat kepada kita untuk menggerakkan rumah ibadat ini bukan hanya bergantung kepada dana yang diperuntukkan, sebaliknya kita perlu mencari sumber lain untuk menambahkan dana supaya dapat menganjurkan pelbagai aktiviti yang boleh mengimarahkannya.

“Justeru kita merangka pelbagai program dan aktiviti untuk menambah ekonomi masjid dan surau berkenaan. Bertitik tolak dari situ, ada masjid yang mempunyai rumah penginapan, gerai, kedai, kafetaria yang bukan sahaja menjadi pusat pengimarahan dan ekonomi tetapi pada masa sama menjadi pusat perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya.

Tambah Mohd Ajib, walaupun masjid dan surau ditutup kepada umum sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan akibat wabak koronavirus (Covid-19), namun aktiviti mengimarahkan dan ekonomi di masjid masih boleh diteruskan.

“Uniknya di masjid-masjid di Wilayah Persekutuan, kita mempunyai ketua imam dan sejak PKP dilaksanakan, kita mengarahkan mereka (ketua imam) untuk menghidupkan dan mengimarahkan masjid.

“Salah satu aktiviti yang kita laksanakan adalah dengan membuat kutipan dan mengaktifkan JAWI Food Bank bagi membantu barisan hadapan dan mereka yang terkesan akibat pandemik ini.

“Sehingga kini, kita telah berjaya menyalurkan bantuan kepada lebih 1 juta orang tanpa mengira latar belakang mereka dan ini juga merupakan satu jalan dakwah,” katanya.

Mohd Ajib berkata, pihaknya juga turut menganjurkan program Dapur It’am bagi memberikan agihan makanan kepada mereka yang memerlukan.

“Seramai 10 petugas akan bergotong-royong memasak makanan untuk diagihkan kepada golongan memerlukan. Ini sekali gus untuk memastikan ibadah sedekah dapat terus dilaksanakan dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang PKP berkuat kuasa.

“Kita juga turut melaksanakan pelan pengimarahan masjid berdasarkan beberapa teras antaranya dakwah, ekonomi, sosial dan sebagainya. Sebab itu ada masjid di bawah JAWI mempunyai konti radio untuk menghebahkan pengisian-pengisian serta ilmu-ilmu secara online selain transaksi lain yang memberi manfaat kepada semua.

“Walaupun masjid ditutup, namun ia masih berfungsi. Malah sumbangan dan derma di masjid juga semakin aktif kerana penyumbang masih menyalurkan sumbang melalui aplikasi online dan sebagainya,” katanya.