Urus masjid, surau dengan penuh tanggungjawab

Profesor Noor Azman Ali
Profesor Noor Azman Ali
A
A
A

SHAH ALAM - Pengurusan masjid dan surau perlu dijaga sebaiknya dengan penuh tanggungjawab supaya kehidupan masyarakat Islam lebih teratur sekali gus mampu mengangkat Islam ke tahap yang lebih baik serta memberi manfaat sepenuhnya kepada masyarakat Islam setempat.

Profesor Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Noor Azman Ali berkata, ahli jawatankuasa masjid dan surau perlu menjalankan tugas sebaiknya dengan harapan rumah ibadah itu akan menjadi pusat tumpuan aktiviti masyarakat Islam.

Oleh itu katanya, pengurusan maklumat penting untuk menganjurkan sebarang aktiviti bagi mengimarahkan masjid atau surau.

“Ahli jawatankuasa masjid dan surau perlu mengumpul data serta maklumat yang diperlukan untuk anjurkan sebarang aktiviti. Malah semua kariah boleh bekerjasama dalam hal ini.

“Maklumat ini pula perlu ditapis dan diuruskan dari masa ke masa bagi mengelak sebarang keciciran dan ia perlu dikongsi kepada semua kariah agar mereka tahu dana yang ada disalurkan kepada aktiviti yang bermanfaat.

“Penyumbang juga mahu lihat sumbangan mereka digunakan dengan sebaik mungkin. Sebab itu ahli jawatankuasa perlu amanah serta bertanggungjawab dalam hal ini. Pastikan niat kita hanya kerana ALLAH SWT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika,menjadi penalis program Wacana Al-Quran bertajuk ‘Masjid: Menyumbangkah kepada ekonomi negara yang diadakan secara langsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf di sini semalam.

Dalam wacana berkenaan, beliau bergandingan dengan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Mohd Ajib Ismail sebagai panelis dan Ketua Penyelidik Yayasan Wawasan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail selaku moderator serta qari jemputan, Ustaz Tarmizi Abdul Rahman yang membacakan surah al-Taubah.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Noor Azman berkata, walaupun masjid ditutup sejak PKP dilaksanakan, namun jaringan antara kariah dan masjid masih lagi berfungsi.

“Jaringan tidak terputus, transaksi masih perlu dilaksanakan. Jaringan itu boleh dilaksanakan melalui media sosial dan internet.

“Ahli jawatankuasa masjid dan kariah setempat masih boleh berhubung dan menyalurkan maklumat serta ilmu bermanfaat sesama mereka. PKP bukan alasan untuk kita tidak mengimarahkan masjid atau surau,” katanya.

Dalam pada itu, tambah Noor Azman, kepelbagaian latar belakang serta kepakaran profesional yang ada dalam kalangan ahli kariah boleh dimanfaatkan untuk mengimarahkan lagi masjid dan surau.

“Mereka yang berkemahiran boleh menyumbang khidmat bakti mereka, contohnya doktor boleh menyampai serta menyalurkan ilmu berkaitan kesihatan kepada kariah.

“Komunikasi antara ahli kariah juga penting. Jaringan tidak bermanfaat jika tiada sebarang komunikasi. Sebab itu dalam normal baharu ini, imam atau bilal perlu ada kemahiran teknikal untuk menguruskan maklumat, sekurang-kurangnya ada kemahiran untuk buat grup WhatsApp untuk salurkan maklumat kepada ahli kariah,” katanya.