Hamzah sahkan tanding PRK Batu Sapi

Hamzah
Hamzah
A
A
A

KOTA KINABALU - Bekas pemimpin Pas dan Parti Amanah Negara (Amanah), Hamzah Abdullah mengesahkan akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi pada 5 Disember depan.

Beliau akan bertanding sebagai calon Bebas kerana tidak mahu terikat pada peraturan parti walaupun sebelum ini pernah menjadi pemimpin kepada dua parti.

Katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) mengatakan PRK di Batu Sapi tidak dapat dihalang kerana mengikut Perlembagaan Persekutuan yang mewajibkan mesti diisi kekosongan kerusi selepas 60 hari ahli Parlimen di kawasan itu meninggal dunia.

"Rakyat memang tidak mahu ada pertandingan, tetapi ia tidak dapat dihalang dan ini akan menjurus kepada adanya pilihan raya dan pertandingan.

"Jika ada pertandingan, maka mesti ada peserta, kalau seorang yang bertanding itu bukan pertandingan, maka sesiapa pun warganegara layak untuk masuk bertanding.

"Makanya, saya menawarkan diri sebagai pilihan terbaik buat warga Batu Sapi tetapi sebagai calon Bebas kerana tidak mahu terikat pada mana-mana parti bagi mengelak daripada terikat kepada peraturan parti," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Katanya lagi, ketika ini beliau sudah melakukan persiapan termasuk memberi isyarat kepada pengundi Batu Sapi berhubung pilihan raya itu nanti.

"Antara persediaan saya adalah meneruskan kerja kebajikan yang dilakukan dengan keringat saya sendiri, selain itu saya sudah merangka manifesto peribadi dan mendidik pengundi Batu Sapi supaya mereka memahami undi mereka, mereka mesti memanfaatkan undi mereka untuk memilih calon yang berjuang di Batu Sapi.

Artikel Berkaitan:

"Bagi saya, peluang sudah ada di mana kempen rumah ke rumah tidak dibenarkan SPR dan saya akan menggunakan kempen di media sosial untuk meraih undi nanti," katanya.

Beliau dalam pada itu turut mengesahkan sudah mengambil borang calon untuk PRK itu nanti cuma ia belum lagi dihantar buat masa ini.

Untuk rekod, Hamzah sudah menyertai tujuh pilihan raya sebelum ini termasuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, beliau bertanding atas tiket Pas dengan memperoleh 9,287 undi.

Pada PRU14, beliau kemudian bertanding atas tiket Amanah namun tewas dan hilang wang deposit apabila hanya berjaya meraih sebanyak 980 undi.

PRU itu menyaksikan pertandingan empat penjuru apabila mendiang Datuk Liew Vui Keong daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) menang dengan majoriti mudah sebanyak 4,619 undi selepas memperoleh 12,976 undi.

SPR sebelum ini menetapkan 5 Disember sebagai tarikh hari mengundi selepas ahli Parlimennya, Vui Keong meninggal dunia pada awal Oktober lalu.