Pahang pertimbang wajibkan murid ikuti KAFA

Syed Ibrahim Syed Ahmad
Syed Ibrahim Syed Ahmad
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang bersedia mempertimbangkan cadangan untuk mewajibkan setiap anak berusia tujuh hingga 11 tahun mengikuti pengajian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Pahang.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, syor itu boleh dilaksanakan kerana pengajian tersebut memberi banyak manfaat dan kebaikan kepada anak-anak.

"Kerajaan negeri melihat cadangan ini amat baik dan akan dipertimbangkan kerana KAFA memberi kesan positif kepada anak-anak.

"Kita akui kelas pengajian KAFA mendapat sambutan hangat sama ada di kampung, taman dan bandar yang dilaksana dan diuruskan oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dengan bantuan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Jadi, bagi memastikan kelas pengajian ini dapat dilaksanakan sebaik-baiknya, kerajaan negeri akan sentiasa memberi komitmen dan galakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Andasura Rabu (Pas-Beserah) pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Sebelum itu, Andasura mencadangkan kelas pengajian KAFA diwajibkan kepada anak berumur tujuh hingga 11 tahun bermula 2023 bagi memastikan pembentukan peribadi anak-anak di peringkat awal penting untuk diterapkan.

Dalam persidangan itu, Syed Ibrahim berkata, sebanyak RM33.2 juta telah disalurkan Jakim untuk bayaran elaun guru dan bantuan termasuk bantuan khas kewangan kepada kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, berdasarkan statistik, kerajaan negeri menerima peruntukan daripada Jakim sejak 2015 berjumlah RM29.3 juta, diikuti RM56.1 juta (2016), RM33.4 juta (2017), RM35.3 juta (2018) dan RM30.8 juta (2019).

"Di Pahang, terdapat sebanyak 3,620 buah sekolah KAFA dengan 74,116 orang murid berumur tujuh hingga 11 tahun," katanya.