Peluang kerja di sektor pembinaan bagi mereka hilang pekerjaan

Fadillah - Foto Bernama
Fadillah - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kerja Raya sedia menerima mereka di luar sektor pembinaan yang hilang pekerjaan ketika pandemik koronavirus (Covid-19) ini untuk dilatih dan ditempatkan dalam sektor berkenaan menerusi sebuah program khas, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, program latihan kemahiran dan penempatan pekerja melalui Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) itu dibangunkan dengan keutamaan diberi kepada pekerja tempatan dan latihan ‘reskill’ (latihan semula) serta ‘upskill’ (peningkatan kemahiran) akan diberikan.

“Mereka akan ditempatkan di Akademi Binaan Malaysia (ABM). Setakat ini, mereka akan ditempatkan di sektor pembinaan selama tiga bulan dan sehingga ini seramai 289 telah dilatih dan ditempatkan kerja,” katanya pada sesi soal jawab di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Robert Lawson Chuat (GPS-Betong) yang ingin tahu sama ada kementerian itu ada menjalankan latihan seumpamanya kepada mereka yang hilang pekerjaan di luar sektor pembinaan.

Dengan kebergantungan negara kepada pekerja asing, Fadillah mengakui sektor itu yang menawarkan peluang pekerjaan dalam sektor-sektor separa mahir dan mahir, kekurangan pekerja tempatan.

Menjawab soalan asal Robert mengenai bilangan pelatih ABM, Fadillah berkata sejak ditubuhkan pada tahun 1997, kesemua enam ABM di bawah seliaan CIDB berjaya melatih 146,746 belia dan 274,555 personel binaan dalam pelbagai bidang kemahiran.

“Latihan dalam industri binaan di bawah ABM adalah satu daripada inisiatif kerajaan dalam meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran pekerja tempatan. Ia selaras usaha kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: