Bayi tiga bulan terperangkap dalam kereta

Bomba menggunakan peralatan khas membuka pintu kereta bagi menyelamatkan bayi berusia tiga bulan dalam kejadian di Taman Kota Puteri, Pasir Gudang malam tadi. - Foto Ihsan Bomba
Bomba menggunakan peralatan khas membuka pintu kereta bagi menyelamatkan bayi berusia tiga bulan dalam kejadian di Taman Kota Puteri, Pasir Gudang malam tadi. - Foto Ihsan Bomba
A
A
A

JOHOR BAHRU- Seorang ibu berdepan detik cemas apabila bayi perempuannya yang berusia tiga bulan terperangkap kira-kira 10 minit di dalam kereta di rumah mereka di Taman Kota Puteri, Pasir Gudang malam tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang Pegawai Bomba Kanan II Mohd Yusri Atan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira jam 9.34 malam.

Katanya, sembilan anggota dan sebuah jentera ke lokasi kejadian bagi membantu mangsa.

"Seorang bayi perempuan didapati terperangkap di dalam kereta jenis Perodua Viva. Pihak bomba menggunakan peralatan khas bagi membuka pintu kereta.

"Kejadian tersebut berlaku ketika ibu mangsa ingin mengeluarkan barangan terlebih dahulu ke dalam rumah dan meninggalkan mangsa namun kereta tersebut terkunci dengan sendiri (auto lock)," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Mohd Yusri berkata, bayi perempuan terbabit iaitu Nur Afrina Falisha Salizan, berjaya dikeluarkan dalam keadaan selamat dalam masa lebih kurang lima minit.

Jelasnya, operasi ditamatkan jam 9.53 malam.

Artikel Berkaitan: