X

Kindly register in order to view this article
!

Pertukaran jadual imunisasi kebangsaan untuk kanak-kanak mulai bulan ini

Dr Noor Hisham - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan pertukaran Jadual Imunisasi Kebangsaan untuk Kanak-kanak melibatkan semua Klinik Kesihatan KKM di seluruh negara secara berperingkat bermula awal bulan ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pelaksanaan pertukaran jadual imunisasi itu susulan pertukaran jenis vaksin kombinasi lima serangkai - difteria-tetanus-pertussis-polio-Haemophilus influenza type b (pentavalent DTaP-IPV//Hib) - kepada vaksin kombinasi enam serangkai di bawah Program Imunisasi Kebangsaan bagi kanak-kanak.

"Vaksin enam serangkai diberikan untuk mencegah enam jenis penyakit iaitu penyakit difteria, tetanus (kancing gigi), pertussis (batuk kokol), poliomyelitis, jangkitan Haemophilus influenza type b dan Hepatitis B (hexavalent DTaP-IPV-HepB-Hib).

"Sebanyak empat dos vaksin enam serangkai akan diberikan kepada setiap kanak-kanak pada umur dua bulan, tiga bulan, lima bulan dan 18 bulan. Di samping itu, vaksin Hepatitis B yang diberi selepas lahir akan diteruskan.

"Vaksin Hepatitis B yang sebelum ini diberikan pada umur satu bulan dan enam bulan tidak perlu lagi diberikan kerana komponen vaksin Hepatitis B telah terkandung dalam vaksin kombinasi enam serangkai," katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan pertukaran vaksin itu, Dr Noor Hisham berkata, bilangan suntikan untuk mencegah enam jenis penyakit dapat dikurangkan daripada tujuh suntikan kepada hanya lima suntikan, sekali gus memudahkan ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka diberikan suntikan vaksin mengikut jadual imunisasi yang ditetapkan.

"Walaupun tiada suntikan imunisasi diberikan kepada kanak-kanak pada umur satu bulan dan enam bulan seperti sebelum ini, ibu bapa juga perlu mematuhi jadual kedatangan ke fasiliti kesihatan untuk pemantauan pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak seperti yang ditetapkan dalam Buku Rekod Kesihatan Bayi dan Kanak-kanak (0-6 tahun)," tambahnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, vaksin enam serangkai adalah vaksin yang berkesan dan selamat dengan kesan advers susulan imunisasi (AEFI) vaksin itu dipantau oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Beliau berkata, sejak vaksin itu digunakan oleh fasiliti kesihatan swasta di Malaysia pada 2013, tiada sebarang isu keselamatan serius dilaporkan.

"Namun, ia merupakan vaksin yang baharu digunakan di bawah Program Imunisasi Kebangsaan di fasiliti kesihatan KKM. Maka, KKM akan menjalankan pemantauan AEFI bagi setiap kanak-kanak selepas setiap dos suntikan," katanya.

Justeru, Dr Noor Hisham menasihatkan ibu bapa untuk melaporkan sebarang kesan yang dialami oleh anak mereka, walaupun kesan yang dialami adalah ringan seperti merah di tempat suntikan, kepada anggota kesihatan selepas setiap suntikan dengan mengembalikan borang pelaporan atau secara terus kepada NPRA melalui laman sesawang npra.gov.my dengan mengisi Consumer Side Effect Reporting Form.

Sebarang kemusykilan mengenai pertukaran jadual imunisasi itu, orang ramai boleh menghubungi KKM di talian 03-8883 4042/03-8883 4504 pada Isnin hingga Jumaat dari 9 pagi hingga 5 petang atau dapatkan penjelasan lanjut di Klinik Kesihatan yang berdekatan, katanya.- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!