Lebam di muka, didera bapa kandung

Kesan lebam bahagian belakang pada kanak-kanak berkenaan.
Kesan lebam bahagian belakang pada kanak-kanak berkenaan.
A
A
A

KULIM - Penderitaan kanak-kanak berusia 5 tahun yang didera bapa kandung terbongkar selepas gurunya melihat kesan lebam di muka, selain keadaannya didapati lesu dan batuk-batuk.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, kejadian di sebuah rumah di Kulim Hi Tech Park, 30 Januari lalu itu diketahui selepas kanak-kanak itu hadir ke tadika, semalam.

Menurutnya, mangsa memberitahu dipukul di rumah, ketika disoal oleh gurunya.

"Murid itu turut menunjukkan kesan dipukul pada tubuh dan guru tersebut mendapati terdapat lebam pada belakang tubuh, tangan, pipi, dan punggung, dipercayai menggunakan penyangkut baju.

"Guru tersebut telah membawa murid itu ke Hospital Kulim untuk menerima rawatan selanjutnya sebelum membuat laporan polis," katanya.

Beliau berkata, susulan itu bapa mangsa ditahan pada 5.45 petang semalam di pekarangan Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Kulim, ketika Ops Tahun Baharu Cina.

"Suspek mengaku memukul anaknya kerana nakal dan dibebaskan dengan jaminan polis.

"Kanak-kanak itu kini berada dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) buat sementara waktu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.