50 penternak ikan rugi RM5 juta akibat Covid-19

PPILS berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana tampil membantu memberikan sumbangan pelet makanan ikan yang dapat meringankan beban mereka.
PPILS berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana tampil membantu memberikan sumbangan pelet makanan ikan yang dapat meringankan beban mereka.
A
A
A

PASIR PUTEH - Persatuan Penternak Ikan Laguna Semerak (PPILS) mendakwa mengalami kerugian RM5 juta sejak pandemik koronavirus (Covid-19) 'menyerang' negara sejak Mac lalu.

Kerugian itu disebabkan oleh hasil ternakan ikan dari jenis kerapu hibrid dan siakap yang diusahakan oleh 50 peserta di Laguna Semerak di sini gagal dipasarkan.

Pengerusi PPLIS, Mustaffa Bakar berkata, kebiasaannya ikan-ikan itu dijual terus kepada pemborong untuk pasaran hotel, kolam pancing, restoran dan kedai makan di luar Kelantan.

"Bukan itu sahaja, ikan-ikan ini turut dipasarkan ke luar negara namun sejak berlakunya pandemik ini, permintaan terhadap ikan-ikan yang kami ternak di Laguna Semerak menyusut dengan begitu teruk," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mustaffa (kiri) dan rakannya menunjukkan sangkar ikan kerapu hibrid dan siakap yang diusahakan mereka di Laguna Semerak.
Mustaffa (kiri) dan rakannya menunjukkan sangkar ikan kerapu hibrid dan siakap yang diusahakan mereka di Laguna Semerak.

Menurutnya, buat masa ini para penternak hanya mampu berdoa agar pandemik ini segera lenyap dan keadaan kembali pulih seperti biasa.

Beliau berkata, terdapat 2,000 sangkar ikan kerapu hibrid dan siakap yang diusahakan oleh para penternak di Laguna Semerak.

Mustaffa berkata, Covid-19 juga menyaksikan para penternak terpaksa menanggung kos makanan yang tinggi kerana ikan tidak laku dijual selain beratnya juga sudah mencecah tiga kilogram.

Artikel Berkaitan:

"Kebiasaannya ikan dijual dengan berat sekitar sekilogram sahaja, namun disebabkan sukar untuk dipasarkan ikan menjadi besar.

"Bagaimanapun kami berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana tampil membantu memberikan sumbangan pelet makanan ikan bagi meringankan beban," katanya.