APMM usir lima bot nelayan asing ceroboh perairan

Lima kru yang berada di atas salah sebuah bot diusir selepas dikesan menceroboh perairan negara kelmarin. - Foto Ihsan APMM Terengganu
Lima kru yang berada di atas salah sebuah bot diusir selepas dikesan menceroboh perairan negara kelmarin. - Foto Ihsan APMM Terengganu
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu mengusir lima buah bot nelayan Vietnam yang dikesan menceroboh perairan negara di lima posisi berbeza iaitu sekitar 137 hingga 150 batu nautika dari Kuala Terengganu kelmarin.

Pengarahnya, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, kehadiran kesemua bot tersebut dikesan oleh pesawat udara Bombardier CL415 Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rutin pengawasan udara di perairan Terengganu.

"Maklumat pencerobohan itu kemudian disalurkan kepada Kapal Maritim KM Langkawi yang sedang melaksanakan Op Kuda Laut di sekitar perairan Terengganu sebelum menurunkan RHIB bersama pasukan penggeledah dan mengarahkan berhenti untuk pemeriksaan.

"Bagaimanapun, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, bot nelayan berkenaan cuba lari dengan bertindak memecut ke arah perairan sempadan Malaysia-Vietnam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli
Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli

Muhammad Suffi berkata, selain pengusiran, pihaknya juga merampas semua bekalan air serta makanan yang ada di atas bot tersebut lalu dibuang ke dalam laut.

"Tindakan ini bertujuan bagi memastikan mereka tiada pilihan untuk berada di laut bagi melakukan sebarang aktiviti penangkapan ikan di perairan negara dan pulang ke negara mereka," katanya.

Sementara itu, menurut Muhammad Suffi, sepanjang tahun ini, APMM Terengganu merekodkan 96 pengusiran ke atas bot nelayan asing yang melibatkan seramai 992 kru termasuk tekong.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan pengusiran ini dilaksanakan bagi mengekang kluster baharu koronovirus (Covid-19) yang berpunca daripada pencerobohan bot nelayan asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke perairan negara," katanya.

Tambah beliau, pihaknya akan terus komited dalam menggalas tugas dan tanggungjawab walaupun cabaran keadaan cuaca yang tidak menentu pada hujung tahun terutama monsun timur laut.