Sukarelawan bawa 'cahaya' kepada mangsa banjir

Antara barangan berharga penduduk yang rosak akibat banjir kilat.
Antara barangan berharga penduduk yang rosak akibat banjir kilat.
A
A
A

SEREMBAN - Seramai 30 orang sukarelawan daripada Pasukan Penyelamat Elite Bencana Malaysia atau lebih dikenali dengan nama Malaysia Elite Disaster Rescue Forces (MEDRF) dan Agensi Super Group (SG) cawangan Seremban mengambil inisiatif meringankan beban penduduk dengan bergotong-royong membersihkan kawasan dilanda banjir kilat.

Dalam kejadian itu, kira-kira 450 penduduk terjejas apabila sekurang-kurangnya sembilan kawasan di daerah Seremban dan Rembau, Negeri Sembilan dilanda banjir pada Rabu, 4 November 2020 dan keesokan harinya disenaraikan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hingga esok.

Bagaimanapun, atas kerjasama pihak berkuasa tempatan, sukarelawan terlibat diberikan kebenaran membantu mereka yang memerlukan di Kampung Kuala Sawah, Kampung Moksang, Taman Happy Garden, Kampung Dato Mansor dan Kampung Pasir selama dua hari.

Sukarelawan daripada MEDRF dan SG membantu membersihkan hampir 100 buah rumah mangsa banjir dan turut melakukan proses sanitasi di kawasan terbabit dengan bantuan penduduk setempat.

Ahli MEDRF cawangan Seremban yang membantu mangsa banjir kilat.
Ahli MEDRF cawangan Seremban yang membantu mangsa banjir kilat.

Presiden MEDRF, Teh Seng Hap berkata, pihaknya berterima kasih atas bantuan yang diberikan oleh kesemua sukarelawan, penduduk setempat dan pihak berkuasa terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjayakan program tersebut dan berharap kehadiran sukarelawan berupaya meringankan beban mangsa banjir yang turut berdepan kerugian akibat musibah tersebut.

Sementara itu, mangsa banjir, Gunalakshmy Nageswaren, 42, berkata, kehadiran sukarelawan pada hari Deepavali menceriakan mereka sekeluarga.

“Seminggu sebelum Diwali rumah kami dilanda banjir setinggi 1.5 meter dan pada hari Deepavali, mereka datang dan menggembirakan kami.

Artikel Berkaitan:

"Rakan-rakan turut membantu mendermakan pakaian dan barang keperluan. Kedatangan mereka semua bagaikan cahaya baharu buat saya sekeluarga,” katanya.

Barangan penduduk yang rosak dilanda banjir kilat dikumpul untuk dilupuskan.
Barangan penduduk yang rosak dilanda banjir kilat dikumpul untuk dilupuskan.

Ketua Kampung Dato Mansor, Anuar Alias berkata, selain kerosakan rumahnya, beliau juga kehilangan beberapa barangan dan dokumen penting.

“Saya kehilangan pelbagai barang penting termasuk gigi palsu baharu berharga RM700 dan saya terpaksa membuat yang baharu pada harga RM500. Geran tanah dan dokumen lain turut hanyut dan rosak.

“Apa pun yang berlaku, syukur kami sekeluarga dan rakan sekampung semuanya selamat,” katanya yang turut berterima kasih atas sokongan dan bantuan yang diberikan.

Dalam pada itu, Fazli Shah Hamzah, 45, berharap pihak berkuasa tempatan membaiki semula benteng sungai dan mendalamkan Sungai Linggi di sebelah kawasan perumahan berkenaan.

“Benteng Sungai Linggi kini dah rata dan habis kereta dan rumah saya tenggelam hingga hanya nampak atap sahaja,” jelasnya.

Bagaimanapun, situasi yang dihadapi oleh pasangan warga emas di Kampung Pasir lebih mencemaskan kerana mereka terperangkap ketika banjir berlaku.

Disinfeksi turut dilakukan bagi mengelak penularan wabak Covid-19.
Disinfeksi turut dilakukan bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

Menurut Kan Ling Yow, 83, arus dari Sungai Linggi yang terletak di sebelah rumahnya terlalu deras dan menyebabkan beliau, suami dan cucunya terperangkap di dalam rumah.

“Kami tak boleh keluar dan tidak boleh membuka pintu rumah kerana tekanan terlalu kuat dan air naik begitu cepat.

“Saya dan cucu duduk di atas bangku yang diletakkan di atas sebuah meja dan suami saya pula hanya bergantung pada meja tersebut.

“Mujurlah selepas dua jam tekanan sudah beransur perlahan dan kami semua dapat keluar ke kawasan yang lebih tinggi sebelum anak dan menantu saya datang membantu,” katanya.