Pensyarah belum sedia mengajar secara 'online'

Pensyarah di Malaysia ketika ini dilihat tidak mempunyai sistem sokongan khusus dalam melaksanakan pembelajaran dalam talian sepanjang penutupan IPT sejak Mac lalu. - Foto 123RF. Gambar kecil: Rosna Awang Hashim
Pensyarah di Malaysia ketika ini dilihat tidak mempunyai sistem sokongan khusus dalam melaksanakan pembelajaran dalam talian sepanjang penutupan IPT sejak Mac lalu. - Foto 123RF. Gambar kecil: Rosna Awang Hashim
A
A
A

SHAH ALAM - Tenaga pengajar di institusi pengajian tinggi (IPT) masih belum bersedia bagi menjalankan aktiviti pembelajaran dalam talian secara berkesan dan efektif.

Ketua Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Akademi Profesor Malaysia, Profesor Dr Rosna Awang Hashim berkata, isu itu berlaku kerana kebanyakan IPT di seluruh negara tidak menggunakan mod pengajian jarak jauh sepenuhnya menggunakan kaedah sebelum pandemik koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, disebabkan itu pensyarah di Malaysia ketika ini dilihat tidak mempunyai sistem sokongan khusus dalam melaksanakan pembelajaran dalam talian sepanjang penutupan IPT sejak Mac lalu.

“Tidak semua pensyarah di Malaysia mampu walaupun sudah diberi latihan dan buat sedaya yang mampu kerana tidak ramai yang betul-betul mahir menggunakan teknologi baharu ini untuk berkomunikasi dengan pelajar.

“Di negara luar, contohnya di Amerika Syarikat (AS), ada pereka pengajaran ataupun instructional designer (ID) yang membantu pensyarah untuk membina sesebuah bahan dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Katanya, meskipun terdapat IPT yang mengambil inisiatif menggunakan khidmat ID, namun ia dilihat masih tidak mencukupi kerana kebanyakan universiti mengharapkan pensyarah untuk mempelajarinya secara kendiri.

"ID membantu pensyarah mentransformasikan 'storyboard' kepada bahan pengajaran dan aktiviti pembelajaran yang lebih menarik," katanya

Rosna berkata, ketiadaan sebuah sistem sokongan sebegitu memberikan bebanan tambahan kepada pensyarah untuk meneruskan sesi pembelajaran kepada pelajar.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai contoh, walaupun mereka tahu sesebuah video itu bagus dan baik untuk digunakan pelajar, tetapi mereka tidak tahu bagaimana cara membinanya dan tentu ia perlu masa untuk merealisasikannya.

“Sekarang ini, pensyarah perlu buat segalanya sendiri. Jadi pensyarah pun tertekan juga sebenarnya,” katanya.

Rosna yang juga Pensyarah Psikologi Pendidikan di Universiti Utara Malaysia berkata, capaian internet yang terhad juga antara cabaran utama dihadapi pelajar dan pensyarah yang bekerja dari rumah.

“Bagi pelajar pula, mereka menghadapi masalah tersebut terutamanya yang duduk di kawasan pedalaman, kampung termasuk di sesetengah kawasan pekan atau bandar kerana tiadanya fasiliti,” katanya.