Lelaki mengamuk rosakkan kereta milik pegawai polis

Barangan peribadi milik mangsa yang dibakar dan kereta jenis Toyota Vios yang dirosakkan suspek.
Barangan peribadi milik mangsa yang dibakar dan kereta jenis Toyota Vios yang dirosakkan suspek.
A
A
A

KANGAR - Seorang lelaki mengamuk sehingga membakar barangan peribadi serta merosakkan sebuah kereta jenis Toyota Vios milik seorang pegawai kanan polis.

Kejadian kira-kira jam 9.30 malam tadi di Taman Kangar, di sini, itu disedari pegawai berusia 27 tahun dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar selepas pulang dari makan malam.

Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd berkata, ketika tiba di rumah yang disewanya sejak dua hari lalu itu, pegawai wanita itu mendapati keretanya telah dirosakkan.

No Image Caption



No Image Caption

Menurutnya, malah barang-barang berharga miliknya yang berada di dalam bilik juga telah dibakar oleh suspek selain cuba untuk menyerang pegawai terbabit.

“Pihak forensik Kontinjen Perlis telah dimaklumkan bagi bantuan siasatan di tempat kejadian.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

“Sampai di lokasi dapati barang-barang berharga mangsa seperti beg tangan berjenema Coach, pakaian telah terbakar selain jam tangan pengadu yang rosak dipercayai akibat dibaling ke dinding,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, pemeriksaan pada kereta mangsa juga mendapati terdapat kerosakan di bahagian lampu kiri dan kanan hadapan, pecah pada cermin sisi kiri dan kanan, bonet depan yang calar serta nombor pendaftaran yang tertanggal.

Katanya, susulan itu, suspek berusia 34 tahun yang juga merupakan anak kepada pemilik rumah telah ditahan.

“Punca kejadian dipercayai suspek ini tidak mahu pegawai terbabit tinggal menyewa di rumah ibunya itu.

"Suspek kini direman empat hari sehingga Selasa depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan,” katanya.