X

Kindly register in order to view this article
!

Angka kes Covid-19 di Sabah dijangka meningkat lagi

Jumlah kes mengikut daerah di Sabah.
A
A

KOTA KINABALU - Kes positif koronavirus (Covid-19) di Sabah dijangka akan meningkat lagi dalam tempoh beberapa hari ini berikutan saringan ujian Covid-19 yang akan dilakukan di dua lokaliti di penempatan Telipok dan Kampung Numbak di sini esok.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, setakat ini sebanyak 207 kes positif Covid-19 dicatat di penempatan Telipok, manakala 134 kes dicatat di Kampung Numbak.

"Kedua-dua lokaliti ini mempunyai penduduk yang padat iaitu dianggarkan kira-kira 21,000 penduduk dengan jumlah pecahan penduduk di penempatan Telipok kira-kira 15,000, manakala di Kampung Numbak seramai 5,700.

"Sehubungan itu, JKNS akan mula melaksanakan ujian saringan di kedua-dua lokaliti ini esok bagi mengesan penularan jangkitan virus Covid-19.

"Saya ingin memberi peringatan bahawa hasil ujian mungkin akan mengakibatkan kenaikan mendadak kepada jumlah kes positif di negeri ini untuk tempoh dua hingga tiga hari akan datang," katanya dalam sidang akhbar di Wisma Innoprise di sini hari ini.

Masidi Manjun
Masidi Manjun

Ketika ditanya pecahan pendudukan di kedua-dua lokaliti itu berdasarkan warga tempatan dan asing, beliau berkata, sebanyak 25.4 peratus di Kampung Numbak dan 13.4 peratus di penempatan Telipok yang didapati positif Covid-19 adalah warga asing.

"Mungkin ini adalah cerminan penduduk warga asing di kawasan itu, walaupun ia bukan perkiraan yang tepat tetapi mungkin boleh bagi kita menentukan peratusan penduduk orang asing dan tempatan di kedua-dua lokaliti," katanya.

Bagaimanapun, Masidi berkata, buat masa ini keutamaan kerajaan adalah untuk menangani dan mengawal penularan penyakit ini daripada terus merebak tanpa mengira sama ada penduduk di dua lokaliti itu warga asing atau tempatan.

"Saya fikir soal sama ada warga asing atau sebagainya, kita boleh serahkan kepada agensi kerajaan lain. Yang pasti keutamaan kita sekarang adalah menangani penularan pandemik ini.

"Kita tidak memilih mereka sama ada warga tempatan atau asing, yang pasti kalau mereka didapati positif kita pastikan mereka dapat rawatan.

"Soal warganegara atau tidak mereka akan menjadi pembawa virus ini dan kemungkinan besar akan membawa kepada sahabat mereka termasuk warga tempatan," katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan penempatan Telipok dan Kampung Numbak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai hari ini.

Terdahulu, Masidi turut memaklumkan Sabah hari ini mencatat sebanyak 288 kes positif Covid-19 yang baharu iaitu terdapat sedikit penurunan berbanding semalam.

Beliau turut memaklumkan, Kota Kinabalu mencatat sebanyak 86 kes, disusuli Tawau (53), Tuaran (30), Penampang (24), Sandakan (22), Putatan (17), Lahad Datu (15), Semporna (14), Papar (9), Kota Belud dan Keningau masing-masing catat lima kes dan Kudat serta Beaufort catat empat kes.

Kampung Numbak mempunyai penduduk yang padat iaitu kira-kira 5,700 penduduk dan dikenakan PKPD mulai hari ini.
Kampung Numbak mempunyai penduduk yang padat iaitu kira-kira 5,700 penduduk dan dikenakan PKPD mulai hari ini.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!